Virus turut pengaruhi tahap kualiti udara

BERGERAK aktif dan cekap semasa melaksanakan tugasan, sama ada di rumah atau di pejabat memberi petunjuk bahawa individu tersebut sihat dan amat produktif. Bagaimana pula keadaannya dengan individu yang kerap selesema, sakit kepala, batuk dan demam? Pastinya keadaan sebegini boleh mengganggu aktiviti harian dan menggugat produktiviti. Apa penyebab individu tidak sihat dan gagal menjadi produktif?

Sebenarnya, terdapat pelbagai virus dan bakteria wujud di sekitaran kita. Ia mempengaruhi kualiti udara yang kita sedut setiap masa. Jika buruk kualiti udara yang kita sedut, maka besar kemungkinan kita akan jatuh sakit.

Kualiti udara dalaman tercemar oleh sisa-sisa makanan yang ditinggalkan di atas meja atau di dalam bakul sampah, rakan sekerja yang sakit, siling atau dinding yang berkulat, asap rokok, bahan pencemar udara biologikal seperti bulu haiwan, lipas dan tungau, cat, gam pelekat, racun serangga, pencuci lantai dan jenis perabot kayu yang digunakan serta pelepasan ozon dan ultra ungu oleh mesin pendua, pencetak laser dan pelbagai alat telekomunikasi.

Kualiti udara dalaman organisasi akan semakin memburuk jika sistem pengudaraan bermasalah. Sistem pengudaraan dalaman organisasi yang tidak baik boleh memberikan pelbagai implikasi penyakit seperti selesema, sakit kepala, demam, batuk dan seumpamanya. Pembiakan kulat pada dinding dan siling akibat masalah sistem pengudaraan memburukkan lagi keadaan kesihatan individu.

Sesuatu ruang dalaman bermasalah boleh dikenal pasti apabila penghuninya terhidu bau yang kurang menyenangkan, udara yang meruap dan melemaskan, pendingin udara yang tidak berfungsi, tahap kelembapan berlebihan, berlaku tumpahan air dan pembiakan kulat di dinding atau di siling.

Kajian menunjukkan sistem pengudaraan yang baik banyak bergantung kepada alat pendingin hawa yang digunakan. – Gambar hiasan
Jika suhu dalaman organisasi terlalu panas, ia meningkatkan kelesuan dan mengganggu emosi pekerja. – Gambar hiasan
Sesuatu ruang dalaman bermasalah boleh dikenal pasti apabila penghuninya terhidu bau yang kurang menyenangkan, udara yang meruap dan melemaskan. – Gambar hiasan

Pendingin hawa

Kajian menunjukkan sistem pengudaraan yang baik banyak bergantung kepada alat pendingin hawa yang digunakan. Jika pendingin hawa tidak berfungsi secara sepatutnya ia mempengaruhi tahap kelembapan ruang.

Suasana ini menimbulkan ketidakselesaan kepada pekerja. Jika suhu dalaman organisasi terlalu panas, ia meningkatkan kelesuan dan mengganggu emosi pekerja. Jika sebaliknya, ia boleh menyebabkan gangguan otot rangka dan menjejaskan tahap kesihatan jangka panjang.

Selain itu, stres pekerjaan juga boleh tercetus akibat tahap suhu yang melampau dan udara persekitaran yang berdebu atau kotor. Penyelidikan dalam bidang ergonomik dan psikologi industri menunjukkan bahawa tahap suhu yang melampau berhubungan negatif dengan prestasi dan turut meningkatkan tahap stres individu.

Pekerja yang bekerja dalam persekitaran suasana sebegini gagal memberi tumpuan penuh terhadap tugas dan menggugat produktiviti mereka. Kajian lain pula menunjukkan suhu sejuk dan panas melampau ditambah pula dengan sistem pengudaraan yang bermasalah boleh mengganggu emosi dan sikap pekerja terhadap kerja, prestasi dan proses pembuatan keputusan.

Psikologi yang terganggu mencetuskan pelbagai penyakit pekerjaan yang boleh melemahkan produktiviti organi-sasi. Kajian juga membuktikan bahawa sistem pengudaraan yang tidak sesuai akan memberi tekanan mental dan menyebabkan ketidakhadiran, ketidakpuasan kerja dan masalah kesihatan yang kronik.

Terdapat beberapa faktor persekitaran stesen kerja yang boleh menjejaskan keselesaan dan kepuasan kerja. Faktor utamanya adalah kepanasan melampau dalam persekitaran kerja organisasi. Ringkasan suatu penemuan kajian ke atas 50 orang pengurus operasi firma perkilangan menunjukkan 54 peratus responden menyatakan rasa tidak selesa kerana bekerja dalam suhu yang mencecah 40°C.

Hal ini boleh dielakkan jika pereka bentuk bangunan dan arkitek meletakkan keutamaan terhadap suhu dan sistem pengudaraan organisasi bagi meminimumkan masalah sindrom bangunan tidak sihat.

Meningkatkan kualiti udara

Individu atau organisasi perlu didedahkan kepada pelbagai strategi meningkatkan kualiti udara dalaman di rumah atau di organisasi. Antaranya:

1. Sistem pengudaraan perlu berfungsi dengan baik. Ruang atau bangunan perlu mempunyai aliran udara yang baik jika ia digunakan untuk satu tempoh yang panjang. Pengudaraan ini akan membantu udara keluar dan masuk serta membantu menyingkirkan bahan tercemar daripada berkumpul di dalam bilik atau ruang berkenaan.

2. Alat penghawa dingin perlu berfungsi dengan baik. Penghawa dingin yang dilengkapi dengan penapis memerangkap debu serta bahan pencemar udara yang lain. Justeru, adalah penting untuk pengguna memastikan penapis ini sentiasa bersih, ditukar atau dicuci secara berkala. Bagi organisasi pula, penyelenggaraan berkala amat diperlukan bagi memastikan kualiti udara dalam bangunan baik dan sihat untuk disedut.

3. Tahap kelembapan ruang perlu dikawal. Kelembapan tinggi boleh menggalakkan pertumbuhan kulat di siling dan di dinding. Pendedahan individu kepada suasana ini secara berterusan memberi kesan kepada tahap kesihatannya dan boleh menyebabkan penyakit kanser. Alat penghawa dingin yang beroperasi dengan baik di dalam bilik atau bangunan berupaya mengawal tahap kelembapan.

4. Merokok di dalam rumah atau dalam ruangan bangunan organisasi mesti dielakkan. Terdapat banyak kajian yang dijalankan menunjukkan asap rokok mengandungi campuran toksik yang tidak baik untuk kesihatan. Asap rokok yang terkumpul dalam satu ruangan akan menyebabkan kesesakan nafas dan mencemarkan sistem pengudaraan keseluruhan organisasi.

5. Penggunaan sumber yang boleh mencetuskan pencemaran perlu dihadkan. Terdapat pelbagai sumber pencemaran dalam rumah dan organisasi seperti cat, pewangi dan penyegar udara serta perabot kayu yang baru dibaik pulih. Situasi ini amat memerlukan sistem pengudaraan yang baik bagi memastikan individu tidak terperangkap terlalu lama dalam udara sebegini.

Volatile Organic Compound (VOC) yang terdapat dalam sumber pencemaran ini merupakan sejenis bahan pembiak organik beracun yang mudah tersebar di udara. Ia paling mudah ditemui pada cat yang berasaskan minyak. Bau yang sangat menyengat dalam ruangan tertutup boleh menyebabkan mata menjadi pedih, sesak nafas, iritasi kulit dan kanser.

Fakta dan hasil penyelidikan yang disampaikan di atas menunjukkan bahawa pentingnya udara yang menyihatkan dalam persekitaran rumah dan organisasi. Walau sesibuk mana pun kita melakukan rutin harian di ruangan masing-masing, peruntukanlah sedikit masa untuk menghirup udara dan persekitaran hijau yang masih percuma kurniaan Tuhan. Menyejahterakan individu dan pekerja bukanlah satu tugas yang sukar tetapi kesedaran perlu dicetuskan dalam diri mereka tentang nikmat percuma yang masih ada. – Agensi