Viviani sambar peringkat keempat

NANCY, 10 JULAI – Elia Viviani dari Itali terlalu pantas buat penunggang lain apabila menamatkan sebagai pemenang  pada peringkat keempat Tour de France di Nancy.

Penunggang Deceuninck-Quick Step itu memenangi pecutan atas garisan penamat selepas dibantu oleh rakan sepasukannya, Julian Alaphilippe, yang merupakan pendahulu keseluruhan perlumbaan dan penunggang Perancis pertama untuk menyarung jersi kuning dalam tempoh lima tahun.

Viviani mengatasi Alexander Kristoff dan Caleb Ewan, di mana masing-masing meraih tempat kedua dan ketiga.

“Akhirnya! Akhirnya saya berjaya melakukan apa yang dimahukan,” kata Viviani, 30, selepas kemenangan pertamanya dalam peringkat Tour de France.

“Ia adalah mengenai kerjasama berpasukan, anda perlu membantu antara satu sama lain dan persahabatan berpanjangan dalam sukan ini,” katanya mengenai bantuan daripada Alaphilippe, yang telah memberi laluan kepadanya untuk meraih kemenangan pertama dalam peringkat Tour de France.

“Saya memerlukan kemenangan ini,” kata Viviani, yang gagal memenangi sebarang peringkat di Giro d’Italia pada bulan Mei.

Peter Sagan dari Slovakia mengekalkan pendahuluan dalam kedudukan mata meskipun berada di tempat keempat di belakang Ewan. – AFP

Elia Viviani (jersi biru) mendahului penunggang lain untuk memenangi peringkat keempat Tour de France. – AP