Diberi peluang untuk mengendalikan rancangan Caves & Caverns merupakan satu pengalaman berharga buat pengacara Vivienna Alfred.
Namun di sebalik keterujaan sebagai pengacara, Vivienna, 27, pernah berdepan dengan kisah mistik dalam program yang mengetengahkan keindahan gua di negeri Sabah dan Sarawak itu.
“Sewaktu memasuki salah sebuah gua, saya terdengar bunyi orang bermain gamelan. Ketika itu saya fikir mungkin ada yang buka video TikTok, tetapi sebenarnya tiada siapa sedang memegang telefon bimbit di tangan.
“Saya diamkan saja kerana teringat pesanan ketua kampung sebelum itu. Saya pun bukan jenis penakut. Saya cuma membuka mulut sewaktu makan malam pada hari itu. Rupanya seorang jurukamera kami pun ada terdengar bunyi sama,” kongsinya.
Menurut mStar, Vivienna bersama kru produksi ketika itu telah pun diberitahu supaya menjaga adab dan tingkah laku apabila memulakan penggambaran dalam gua berkenaan.
Malah dia juga berpegang kepada nasihat penduduk tempatan di kawasan tersebut supaya tidak menegur atau bercakap buruk tentang lokasi yang dilawati.
“Sejak dulu lagi, ada upacara tertentu perlu dijalani untuk masuk gua dan semua itu dilakukan ketua kampung di sana terlebih dulu. Dia juga memberikan amaran supaya kami tidak menegur jika dengar atau lihat apa-apa yang aneh di dalam.
“Saya optimis saja anggap mainan gamelan itu mungkin untuk mengalu-alukan kedatangan kami. Syukur tiada kejadian ekstrem berlaku seperti rasukan atau lain-lain,” kongsinya. – Agensi