Vodafone catat kerugian

LONDON, 14 Mei – Syarikat gergasi telekom Britain Vodafone mengumumkan hari ini ia mencatat kerugian bersih tahunan berjumlah 7.6 bilion euro, sebahagiannya terjejas oleh penjualan asetnya di India.

Kerugian selepas cukai dalam tahun kewangan 2018/2019 sehingga akhir Mac adalah bertentangan dengan keuntungan 2.8 bilion euro yang dicatat dalam tempoh sebelumnya, kata Vodafone dalam satu kenyataan keputusan syarikat.

Syarikat telefon bimbit terbesar Eropah itu juga memotong dividen pemegang saham untuk mengurangkan hutang, memudahkan aktiviti dan menambah pelaburan sebagai sebahagian daripada strategi penyusunannya yang berterusan.

“Kerugian untuk tahun kewangan sebanyak 7.6 bilion euro adalah disebabkan kerugian akibat penghapusan Vodafone di India, selepas penggabungan dengan Idea Cellular selesai,” kata Vodafone.

Kerugian bersih termasuk kepentingan bukan majoriti mencecah lapan bilion euro. Ini berbanding dengan keuntungan berjumlah 2.4 bilion euro setahun sebelumnya.

Prestasi yang lemah dicetuskan sebahagiannya oleh kerugian sebanyak 3.4 bilion euro daripada penjualan operasi India.

Firma di London itu juga mencatatkan penurunan nilai berjumlah 3.5 bilion euro disebabkan penyusutan nilai aktivitinya di India, Sepanyol dan Romania.

Sementara itu, pendapatan merosot 6.2 peratus kepada 43.7 bilion euro, disebabkan tekanan persaingan. – AFP