MUMBAI, 20 Mac – Syarikat telefon bimbit Britain Vodafone akan menggabung unitnya di India dengan Idea Cellular untuk menubuhkan operator telekom terbesar negara, kata firma hari ini, tatkala mereka bergabung untuk menentang satu perang harga yang dicetuskan oleh lelaki paling kaya di negara itu.
Pengesahan tersebut mengakhiri spekulasi berbulan-bulan lamanya bahawa kedua-dua operator bersedia untuk menandatangani satu perjanjian untuk membantu menangkis Reliance Jio yang disokong oleh Mukesh Ambani, di mana ketibaannya baru-baru ini telah menjejaskan pasaran rangkaian telefon bimbit di India.
“Vodafone Group Plc dan Idea Cellular hari ini mengumumkan bahawa mereka telah mencapai satu perjanjian untuk menggabungkan operasi mereka di India,” kata mereka dalam satu kenyataan kepada Bursa Saham Bombay (BSE).
“Syarikat bergabung itu akan menjadi pembekal komunikasi terkenal di India dengan hampir 400 juta pelanggan, 35 peratus bahagian pasaran pelanggan dan 41 peratus bahagian pasaran pendapatan,” tambah kenyataan.
Jio dilancarkan pada September dengan perkhidmatan percuma untuk 2016, diikuti oleh pelan data yang lebih murah dan panggilan suara percuma seumur hidup, sekali gus memaksa pesaing mengurangkan tarif mereka.

Ia juga mengakibatkan pesaing bergegas untuk menyaingi pendapatan Jio, yang disokong oleh konglomerat besar India Reliance Industries, dan mendorong sikap terburu-buru untuk penggabungan dalam sektor berbilion dolar itu.
Syarikat Vodafone-Idea akan memintas Bharti Airtel sebagai pembekal rangkaian terbesar India.
Saham dalam Idea pada mulanya meningkat ekoran pengumuman tetapi merosot lebih sembilan peratus, dengan laporan berkata pelabur berasa bimbang perjanjian mengurang nilai Idea.
Vodafone akan memegang 45.1 peratus daripada entiti selepas ia memindah 4.9 peratus saham kepada penyokong Idea dengan harga 39 bilion rupee dalam bentuk wang tunai.
Idea akan memegang 26 peratus dalam syarikat itu dan gabungan akan mengambil masa dua tahun untuk selesai. Perjanjian tidak termasuk saham 42 peratus Vodafone dalam Indus Towers. – AFP