Vodafone keluarkan peralatan 5G Huawei

LONDON, 5 FEB – Syarikat gergasi telekom Britain Vodafone mendedahkan hari ini ia akan menelan kos 200 juta euro dalam tempoh lima tahun untuk mengeluarkan peralatan kumpulan Huawei daripada aktiviti 5G Eropah.

“Kami telah memutuskan sekarang, hasil cadangan EU dan keputusan kerajaan UK, untuk mengeluarkan peralatan Huawei daripada aktiviti utama,” kata CEO Vodafone Nick Read pada persidangan suku ketiga.

“Ia akan mengambil masa lima tahun untuk melaksanakannya pada kos kira-kira 200 juta euro,” tambah beliau, menekankan kos itu akan membabitkan kebanyakan aktiviti Eropah di luar Britain.

Kerajaan UK memutuskan pada bulan lalu untuk menge-cualikan Huawei daripada aktiviti teras rangkaian 5G dan juga menetapkan saham pasarannya pada 35 peratus, menegaskan ‘peniaga berisiko tinggi’ akan dikecualikan daripada aktiviti ‘sensitif.’

Keputusan London diambil sejurus selepas Brussels berkata ia juga akan membenarkan Huawei memegang peranan 5G terhad dalam Kesatuan Eropah.

Seorang lelaki menggunakan telefon pintar ketika beliau berjalan di depan kedai Vodafone di tengah London. Vodafone berkata ia akan menelan kos 200 juta euro dalam tempoh lima tahun untuk mengeluarkan peralatan kumpulan Huawei daripada aktiviti 5G Eropah. – AFP

Read menambah hari ini Vodafone mempunyai ‘jumlah teknologi Huawei yang amat terhad’ dalam infrastruktur Eropah –tetapi mengingatkan ia akan mengambil masa untuk mengeluarkan dan menukar peralatan tanpa menjejaskan pelanggan.

Syarikat yang disenarai di London itu telah pun memutuskan pada tahun lalu supaya menghentikan penggunaan Huawei dalam sistem teras di Eropah.

“Mengenai keselamatan rangkaian 5G, saya berasa gembira proses UK dijalankan berdasarkan fakta dan bukti serta mene-rima nasihat daripada Pusat Keselamatan Siber Nasional,” kata Read.

Rakan Britain BT berkata hari ini ia akan menelan kos 500 juta pound dalam tempoh lima tahun selepas London mengehadkan peranan 5G Huawei.

CEO Vodafone Read juga mengingatkan had pasaran ke atas peniaga infrastruktur 5G mungkin memberi kesan kepada kualiti rangkaian, menangguh pengeluaran sehingga lima tahun – dan menaikkan harga untuk pengguna. – AP