Vokal mantap dapat perhatian pengkritik

Kesungguhan Aina Abdul menghasilkan single berbahasa Inggeris menarik perhatian netizen yang terpesona dengan vokal mantap penyanyi yang bakal bertarung di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-34 ini.

Bermula dengan single Reminiscing dan Shadow, Aina yang popular dengan lagu Sumpah, mempertaruhkan pula Ghost yang dihasilkannya bersama Spuds. Tidak cukup itu, perkongsian video dirinya menyanyikan rangkaian lagu Inggeris daripada penghibur antarabangsa termasuk Adele, menunjukkan kepelbagaian Aina dalam mencorakkan kerjaya seninya hingga mendapat perhatian pengkritik bebas dari luar negara.

Tidak hairanlah, ada yang menyangka Aina atau nama penuhnya, Nurul Aina Abdul Ghani adalah penyanyi kulit hitam andai mendengar vokalnya sahaja. Bekas ‘anak didik’ ratu rock, Ella dalam program Mentor Legend 2014 ini menjelaskan, tidak salah baginya mencabar diri merakamkan single dalam Bahasa Inggeris. “Kalau boleh, saya hendak hasilkan single Bahasa Melayu dan Inggeris secara bergilir,” katanya kepada media.

Berkongsi lebih lanjut mengenai single Ghost, Aina berkata, dendangan itu adalah percubaan pertamanya menyanyi dan menggubah lagu bersama Spuds dan Kuizz Shah.

“Ini kali pertama saya menyanyi dan mencipta lagu genre muzik dansa elektronik (EDM). Lagu ini istimewa kerana liriknya memperkasa insan baik lelaki atau wanita yang pernah teraniaya termasuk dalam percintaan. Ghost umpama lagu tema bagi sesiapa yang mahukan kebebasan daripada perhubungan yang tak sihat,” katanya sambil menambah single itu siap dirakamkan, Januari lalu. – Agensi

Aina yang popular dengan lagu Sumpah, mempertaruhkan pula Ghost yang dihasilkannya bersama Spuds. – Agensi