Saturday, April 20, 2024
26.6 C
Brunei

    -

    Volkswagen bina kilang bateri pertama

    SALZGITTER, JERMAN, 8 JULAI – Volkswagen memulakan kerja-kerja pembinaan kilang bateri pertama semalam, ketika syarikat gergasi kereta Jerman itu berusaha menangkis persaingan daripada firma kenderaan elektrik Amerika Syarikat dan China.

    Firma itu merancang ‘melancarkan kempen bateri’ dari kilang baharu di Salzgitter di tengah Jerman, beritahu Ketua Pegawai Eksekutif Herbert Diess pada majlis yang dihadiri oleh Canselor Jerman Olaf Scholz.

    Volkswagen telah bercita-cita untuk menjadi pengeluar kereta elektrik terbesar dunia menjelang tahun 2025, dan telah menyuntik sejumlah 46 bilion euro (AS$46.8 bilion) dalam tempoh lima tahun akan datang dalam kempen berkenaan.

    “Sekiranya Jerman dan Eropah tidak mahu ketinggalan di belakang AS dan China, kami perlu lebih menumpu pada teknologi masa depan,” kata Diess.

    Kompleks Salzgitter, di mana ribuan enjin pembakaran dikeluarkan dari kilang pemasangan setiap hari buat masa sekarang, dijangka menjadi pusat ekosistem elektrik Volkswagen.

    Dua bilion euro telah dilaburkan dalam kilang bateri itu sehingga 2026, dengan tapak itu berpotensi menghasilkan bateri untuk 500,000 kenderaan setahun.

    Projek tersebut juga berfungsi sebagai rangka tindakan untuk membina kilang bateri lain di Eropah.

    Sehingga sekarang, Volkswagen sebahagian besarnya telah bergantung pada pengeluar bateri Asia, terutama-nya China, untuk dipasang dalam kenderaan yang dikeluarkan mereka. – AFP

    Herbert Diess (kiri) dan Olaf Scholz melawat tapak pembinaan untuk kilang bateri pertama Volkswagen ‘SalzGiga’ di Salzgitter, tengah Jerman pada 7 Julai 2022. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...