Volvo perkenal bas elektrik tanpa pemandu

SINGAPURA, 5 Mac – Volvo dan universiti Singapura mendedahkan bas elektrik tanpa pemandu hari ini yang kelak akan menjalani ujian di negara kota itu, langkah terbaharu ke arah mengeluarkan kenderaan berautonomi untuk pengangkutan awam.

Singapura yang berteknologi tinggi ini telah menjadi platform ujian bagi teknologi pemanduan sendiri dan teksi tanpa pemandu di dunia yang beroperasi dalam percubaan awam terhad di negara itu pada tahun 2016.

Pengeluar automobil Sweden itu, Volvo Buses dan rakan setempatnya, Universiti Teknologi Nanyang (NTU) mendedahkan apa yang mereka sifatkan bas elektrik berautonomi saiz penuh dan berkata kenderaan itu akan memulakan percubaan di kampus universiti itu.

Data dari percubaan itu akan digunakan untuk meningkatkan teknologi sebelum bas tanpa pemandu diuji di atas jalan raya awam, menurut kenyataan Volvo dan NTU.

Presiden Volvo Buses, Hakan Agenvall berkata kenderaan itu adalah ‘langkah penting ke arah wawasan kami bagi bandar yang lebih bersih, selamat dan lebih pintar.’

Kenderaan itu berukuran 12 meter panjang dengan kapasiti penuh hampir 80 penumpang.

Ia menggunakan tenaga kurang 80 peratus dari bas diesel dengan saiz serupa dan dilengkapi dengan sensor dan kawalan pengemudian yang dikendali oleh sistem kecerdasan buatan, tambah kenyataan itu. – AFP

Bas elektrik Volvo AB 7300 tanpa pemandu kelihatan di trek bagi ujian dan Penyelidikan selepas diperkenalkan di Singapura hari ini. – AFP