SEPANG, 29 NOV – Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) Malaysia-Singapura melalui darat (VTL Darat) dan udara (VTL Udara) bermula hari ini membolehkan perjalanan tanpa kuarantin bagi individu yang telah lengkap divaksin.
Pintu masuk antarabangsa utama Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) melaksanakan VTL Udara manakala, VTL Darat dilaksanakan di Terminal Bas dan Pengangkutan Awam Larkin Sentral, Johor Baharu.
Penerbangan VTL pertama dari Singapura yang membawa 240 penumpang menaiki pesawat Singapore Airlines SQ108 mendarat di KLIA pada 9:25 pagi dan disambut dengan pancuran air semasa ketibaan.
Pengendali lapangan terpbang Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) berkata KLIA dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) akan menerima enam penerbangan VTL secara keseluruhan hari ini, membawa lebih 1,300 penumpang dari Singapura.
Enam penerbangan itu dikendalikan Singapore Airlines, Malaysia Airlines, AirAsia, Malindo Air, Jetstar Asia, dan Scoot, menurut MAHB dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sempena majlis sambutan khas bagi penerbangan VTL yang julung kali dilaksanakan hari ini.
Sementara itu, di Terminal Bas dan Pengangkutan Awam Larkin Sentral, Johor Baharu, hari ini, tangisan kegembiraan dan pelukan keluarga tercinta menyambut kepulangan seorang rakyat Malaysia yang setahun lebih terkandas di Singapura kerana tuntutan kerja.
Lebih menyayat hati apabila Bali Anak Jalang, 36, berasal dari Sarawak yang kali terakhir pulang ke Malaysia pada Oktober tahun lepas, berkata dia tidak pernah merangkul anak bongsunya yang baru berusia lima bulan.
Bapa kepada lima anak yang bekerja di republik itu sejak 16 tahun lepas sebagai juruteknik berkata, dia kehilangan kata-kata selepas melihat isterinya Donna Alicia, 36, bersama anak-anaknya menunggu di luar pintu ketibaan.
“Saya tidak terfikir untuk makan hari ini, dan terasa susah hendak tidur kerana hendak berjumpa dengan anak-anak dan isteri sahaja.
“Perasaan saya tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata, selepas dapat tahu Malaysia dan Singapura setuju laksana Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) darat, jadi saya tidak lepaskan peluang untuk pulang ke tanah air,” katanya kepada pemberita selepas tiba di terminal itu, hari ini. – Bernama
