Tuesday, February 18, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    VW: Diess buka muka surat baharu

    BERLIN, 13 April – CEO baharu syarikat gergasi kereta Jerman Volkswagen, Herbert Diess, merupakan bekas eksekutif BMW yang terkenal sebagai seorang pemotong kos dan tidak takut untuk berdepan dengan kesatuan pekerja.

    Warga Austria berusia 59 tahun hanya menyertai VW pada Julai 2015, beberapa bulan sebelum pendedahan penipuan pengeluaran ‘dieselgate’ yang meletakkan syarikat korporat German itu dalam krisis paling teruk.

    Mengambil alih sebagai ketua eksekutif daripada Matthias Mueller, Diess, bekas ketua jenama kereta Volkswagen dalam kumpulan itu, akan ditugaskan membantu pengeluar kereta terbesar di dunia itu pulih daripada krisis.

    Di samping peranannya sebagai CEO dan ketua jenama VW, beliau juga akan bertanggungjawab atas penyelidikan dan pembangunan kumpulan.

    Dilahirkan di Munich pada tahun 1958, Diess mempelajari teknologi kereta dan memperoleh PhD dalam kejuruteraan mekanikal, memulakan kerjaya kereta di syarikat membuat alat ganti Bosch pada 1989 selepas bekerja dalam bidang penyelidikan.

    Herbert Diess semasa menghadiri sidang media di ibu pejabat syarikat di Wolfsburg, tengah Jerman kelmarin. – AFP

    Beliau berpindah ke BMW pada tahun 1996 dan mengendalikan kilang Britain di Oxford dan Birmingham, seterusnya mengetuai BMW Motosikal dan dari tahun 2007 menjadi seorang anggota lembaga pengurusan.

    Beliau tiba di Volkswagen hanya beberapa bulan sebelum didapati syarikat telah menipu perisian 11 juta kereta diesel untuk menyembunyikan pengeluaran nitrogen oksida sebenar mereka, yang dikaitkan dengan gangguan pernafasan dan kardiovaskular.

    Mueller sendiri telah diminta menyelamatkan krisis oleh Volkswagen pada kemuncak skandal yang menamatkan kerjaya bos veteran Martin Winterkorn.

    Setelah menyertai daripada BMW, Diess mempunyai kelebihan tidak dicemari oleh dieselgate, memberikan VW satu peluang untuk memulakan pembaharuan.

    Dalam tempoh pengendalian jenama Volkswagen, Diess boleh berasa bangga kerana berjaya menambah dua kali ganda keuntungan dalam masa dua tahun, menjadikan beliau disukai oleh pelabur.

    Sementara VW belum melakukan pembuangan pekerja secara besar-besaran, pemimpin pekerja kesatuan berpengaruh menentang kempen pemotongan kos dan kecekapan oleh beliau. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda