Oleh Wani Roslan
Gambar oleh Rahwani Zahari
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 MAC – Maju Motors Sdn Bhd, selaku pengimport kenderaan Volkswagen dan Skoda di Brunei, telah membawakan versi wajah baharu Volkswagen Golf MK7 GP generasi ketujuh yang kini dipamerkan di Bilik Pameran Volkswagen, Telanai.
Versi ini mengetengahkan bampar depan yang baharu dengan pemasukan udara yang lebih lebar.
Lampu besarnya menampilkan teknologi LED baharu yang memberikan rekaan agak moden tetapi mengekalkan keaslian imej Golf. Pengurus Jualan Maju Motors Sdn Bhd, Awang Mohammad Shahnon Azizan berkata, “Model ini adalah tambahan kepada barisan VW Golf dan kami mempunyai banyak varian VW Golf termasuk enjin 1.0L Turbocharge TSI, enjin 1.2L Turbocharge TSI, enjin 1.4L Turbocharge TSI dan model ini mempunyai 125 kuasa kuda dengan tork 200Nm.”
Beliau menjelaskan bahawa kenderaan berkenaan dilengkapi dengan pelbagai ciri keselamatan termasuk tujuh beg udara sebagai ciri standard, Park Distance Control di depan dan belakang terutamanya ketika meletakkan kereta, penanda kekurangan tekanan tayar dan sebagainya.
Ia juga dipasang dengan sistem Discover Pro Infotainment baharu dengan ciri paparan berwarna 9.2 inci beresolusi tinggi yang mempunyai antara muka mesra pengguna dan kawalan gerakan.
Pada masa ini, syarikat berkenaan sedang menjalankan promosi sempena Sambutan Hari Raya di mana pelanggan yang membeli VW Golf facelift akan mendapat ansuran bulanan percuma selama enam bulan hingga Mei 2020.

