Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Feb – Maju Motors Sdn Bhd selaku pengedar tunggal kenderaan Volkswagen di Negara Brunei Darussalam telah melancarkan model terbaru Jetta untuk pasaran negara ini dalam majlis yang berlangsung di Bilik Pameran Volkswagen, Jalan Telanai, hari ini.
Hadir bagi menyempurnakan pelancaran Volkswagen Jetta baru berkenaan ialah Pengarah Eksekutif Maju Motors Sdn Bhd, Dr. Chan Sui Kiat, Pengarah Urusan Maju Motors Sdn Bhd, Chan Fui Meng dan juga Pengurus Volkswagen Kawasan Singapura, Alvin Quah.
Turut hadir bagi melihat perkembangan yang terdapat pada Volkswagen Jetta berkenaan ialah para pelanggan, rakan-rakan kongsi Maju Motors Sdn Bhd, kakitangan Maju Motors Sdn Bhd serta warga media.
Jetta baru tersebut digerakkan enjin TSI 1.4 dengan transmisi DSG tujuh kelajuan, menjadikannya kenderaan yang sangat berkarisma untuk pemandu konservatif serta peminat adrenalin.
Di majlis berkenaan, para jemputan yang hadir turut dihidangkan dengan jamuan ringan sambil melihat secara lebih dekat kenderaan berkenaan.
Menurut kenyataan akhbar yang diberikan, Maju Motors Sdn Bhd juga menawarkan pakej pengenalan kepada 10 orang pelanggan pertama yang membeli Volkswagen Jetta baru tersebut, yang mana para pelanggan awal berkenaan layak untuk mendapatkan pembaharuan insurans bagi tahun pertama dan juga menaik taraf satu set rim aloi bersaiz 18 inci.
Sehubungan itu, orang ramai dialu-alukan untuk mengunjungi Bilik Pameran Maju Motors bagi mengetahui lebih lanjut mengenai Jetta baru dan mendapatkannya sebelum tempoh promosi berakhir untuk menikmati tawaran hebat.