VW, pengguna Jerman capai perjanjian pampasan

FRANKFURT AM MAIN, 28 FEB – Syarikat gergasi Jerman Volkswagen (VW) telah mencapai satu perjanjian pampasan dengan kumpulan pengguna domestik yang mewakili pemilik kereta terlibat skandal penipuan pengeluaran ‘dieselgate’, kata mahkamah hari ini.

“Persekutuan pengguna dan Volkswagen telah mencapai satu perjanjian komprehensif,” dalam tindakan guaman kolektif pertama yang dikemukakan oleh 400,000 pemandu kereta, kata mahkamah tinggi Brunswick, beberapa minggu selepas rundingan di antara kedua-dua pihak menemui kegagalan.

Persekutuan pengguna VZBZ berkata ia akan mendedahkan butir-butir perjanjian pada persidangan media pukul 1 petang.

Kedua-dua pihak pada awal bulan ini berbalah selepas bersetuju dengan bayaran 830 juta euro untuk pemandu kereta diesel Jerman.

VW berkata pada masa itu bahawa rundingan gagal disebabkan tuntutan bayaran yang ‘tidak seimbang’ daripada peguam VZBV.

Namun kumpulan pengguna berkata wang diperlukan untuk menubuhkan ‘sistem yang telus dan boleh dipercayai’ untuk membayar wang berkenaan.

Tindakan guaman itu adalah salah satu kesan perundangan terbesar daripada pengakuan VW pada 2015 yang memasang 11 juta kenderaan di seluruh dunia dengan perisian yang menjadikan enjin kelihatan kurang mengeluarkan pencemaran dalam ujian berbanding keadaan pemanduan sebenar. – AFP

Seorang pekerja memasang bahagian bawah kereta yang termasuk bateri dan pangkalan mengecas kereta elektrik Volkswagen di kilang kereta di Zwickau, timur Jerman pada 25 Februari. – AFP