Saturday, April 26, 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Wabak Ebola DRC bukan kecemasan global

    GENEVA, 18 Okt – Meletusnya wabak Ebola yang membawa maut di timur Republik Demokratik Congo (DRC) sangat membimbangkan, namun ia masih belum dapat dilabel sebagai kecemasan kesihatan antarabangsa, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

    “Berdasarkan konteks ketika ini, jawatankuasa mencadangkan bahawa wabak Ebola di DRC belum membentuk kebimbangan bagi kecemasan kesihatan antarabangsa,” kata ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus.

    “Saya sudah menerima cadangan jawatankuasa,” katanya kepada wartawan di Geneva susulan satu mesyuarat dengan Jawatankuasa Kecemasan Undang-undang Kesihatan Antarabangsa, yang merupakan sebuah agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

    Menurut undang-undang WHO, kecemasan kesihatan awam bagi kebimbangan antarabangsa adalah kejadian luar biasa di mana penyakit itu mampu merebak melepasi sempadan dan memerlukan tindak balas antarabangsa dengan serta-merta.

    Tedros menekankan bahawa meskipun keputusan untuk tidak melabel epidemik itu sebagai kecemasan kesihatan antarabangsa, di mana ia telah membunuh sekurang-kurangnya 139 orang di rantau North Kive, DRC, sejak Ogos, ia tidak bermakna WHO tidak akan memandang serius perkara itu.

    Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus (kiri) ketika menghadiri sidang media selepas mesyuarat bagi menentukan sama ada epidemik dilabel sebagai kecemasan kesihatan antarabangsa. – AFP

    “Kita tidak akan berehat sehingga wabak ini berakhir,” katanya, menaruh harapan agar respons yang dilakukan ketika ini dapat menghentikan virus itu daripada terus merebak ‘tahun ini’.

    Pengerusi Jawatankuasa Kecemasan, Robert Steffan, juga menyuarakan ‘optimis’ bahawa wabak itu akan dapat dikawal dalam tempoh yang ‘munasabah’.

    Dia memberitahu para wartawan bahawa jawatankuasa masih bimbang mengenai wabak itu dan menekankan jika situasi semakin buruk WHO masih boleh membuat keputusan untuk menjadikannya kecemasan global. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda