Wabak COVID-19 semakin merebak di Eropah

BRUSSELS/ROM, 9 MAC – Bermula pada Ahad Itali menutup kawasan utara wilayah Lombardy dan 14 wilayah berdekatan, berikutan wabak COVID-19 yang semakin berleluasa, lapor agensi berita Xinhua.

Berikutan Itali merupakan negara Eropah paling teruk terjejas, Perdana Menteri Giuseppe Conte menandatangani dekri untuk mengarahkan beberapa negeri ditutup termasuk Milan dan Venice.

Berkuat kuasa sehingga 3 April, sekatan itu akan memberi kesan kepada 16 juta penduduk.

COVID-19 menyebabkan 133 orang maut dalam tempoh 24 jam lalu, menjadikan  jumlah keseluruhan meningkat kepada 366 orang. Sebanyak 622 pesakit pulih, peningkatan sebanyak 33 orang lagi berbanding Sabtu.

Kebanyakan kematian dilaporkan di Lombardy (113), diikuti Emilia-Romagna (lapan), Veneto (lima), Lazio (dua), Liguria (dua) dan masing-masing satu di Friuli Venezia Giulia, Marche dan Puglia, kata Ketua Jabatan Perlindungan Awam, Angelo Borrelli pada Ahad petang.

Secara keseluruhan, Itali mencatatkan 7,375 kes, termasuk kematian dan pesakit yang pulih, sejak virus pertama kali dikesan pada 21 Februari.

Perancis, negara Eropah pertama yang dilanda COVID-19, 177 jangkitan baharu dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 1,126.

Di Jerman, bilangan kes disahkan mencecah 902 pada Ahad, peningkatan 107 kes dalam tempoh 24 jam.

Di Romania, pihak berkuasa memutuskan melarang semua aktiviti yang melibatkan lebih 1,000 peserta, berkuat kuasa sehingga 31 Mac. Romania menambah enam lagi kes baharu pada hujung minggu ini dengan kes keseluruhan 15 kes.

Di Portugal, Presiden Marcelo Rebelo de Sousa dikuarantin di kediaman peribadinya selama dua minggu, selepas pelajar yang melakukan kunjungan hormat kepada beliau disahkan dijangkiti COVID-19. – Bernama