Wabak COVID-19 ‘terkawal’ – Turki

ANKARA, 23 APRIL – Turki dalam keadaan terkawal menghadapi wabak COVID-19, tetapi tidak boleh memberi kelonggaran terhadap langkah-langkah pencegahan, kata menteri kesihatan negara itu kelmarin.

Bercakap kepada wartawan selepas mesyuarat majlis penasihat ilmiah Turki, Fahrettin Koca melaporkan sebanyak 117 kematian akibat COVID-19 dalam masa 24 jam terakhir, meningkat kepada jumlah kematian negara itu menjadi 2,376.

Menteri itu juga mengesahkan 3,083 jangkitan baharu, meningkat kepada 98,674. Jumlah kes baharu yang dilaporkan adalah yang terendah sejak 4 April dan turun daripada 4,611 yang dilaporkan pada sehari sebelumnya. Sebanyak 16,477 pesakit telah pulih.

“Data menunjukkan bahawa wabak tersebut terkawal,” kata Koca kepada wartawan. Presiden Recep Tayyip Erdogan mengatakan minggu ini jumlah jangkitan harian semakin stabil dan negara itu dapat beralih ke kehidupan normal setelah akhir Mei nanti.

Koca memberi amaran agar tidak melonggarkan tindakan pencegahan, terutama pada bulan Ramadan bagi umat Islam yang akan datang, ketika orang ramai secara lazimnya mengadakan majlis berbuka puasa bersama keluarga dan rakan-rakan.

“Mari kita tunda makan malam beramai-ramai dan perjumpaan pada bulan Ramadan hingga tahun depan,” katanya.

Negara ini mengenakan perintah berkurung pada hujung minggu dan antara langkah lain, telah melarang orang yang berusia 65 tahun ke atas dan yang berumur di bawah 20 tahun untuk meninggalkan rumah.

Perintah berkurung selama empat hari berkuat kuasa pada hari Khamis yang juga merupakan cuti umum. Turki mempunyai jumlah jangkitan ketujuh terbesar di dunia, menurut data Universiti Johns Hopkins mengenai pandemik COVID-19.

Bagi kebanyakan kes-kes COVID-19 di dunia hanya menyebabkan gejala ringan atau sederhana sahaja. Bagi sesetengah orang, terutama orang dewasa atau yang lebih tua dan orang yang mempunyai masalah kesihatan yang sedia ada, ia boleh menyebabkan penyakit yang lebih teruk dan boleh menyebabkan kematian. – AP

Penduduk tempatan memakai penutup mulut dan hidung sebagai langkah pencegahan penyebaran virus, berada di balkoni mereka yang dihiasi dengan bendera Turki sempena merayakan menjelang Hari Kedaulatan Nasional dan Kanak-kanak, di Istanbul, pada 22 April. – AP