EUGENE, AMERIKA SYARIKAT, 19 JULAI – Empat lagi ahli pasukan Kejohanan Olahraga Dunia Jepun telah disahkan positif COVID sekali gus menjadikan jumlah jangkitan kepada 15, menurut Persatuan Persekutuan Olahraga Jepun (JAAF) kelmarin.
Wabak itu tercetus pada hujung minggu lalu, apabila tujuh ujian positif diumumkan di kalangan kem, termasuk dua orang pelari maraton, empat orang kakitangan sokongan dan ketua jurulatih. Sementara itu, empat lagi ujian positif diumumkan semalam, membabitkan seorang pelari maraton dan tiga lagi jurulatih. JAAF juga memaklumkan kelmarin bahawa tiga lagi atlet dan seorang pegawai telah dijangkiti.
Salah seorang daripada mereka ialah pelari pecut 200 meter, Yuki Koike. Dia kini terpaksa terlepas perlumbaan awalnya, kata persekutuan itu. Kesemua mereka yang telah diuji positif diarahkan untuk menjalani tempoh pengasingan selama lima hari.
Wabak tersebut bermula semasa lonjakan jangkitan di seluruh Amerika Syarikat (AS) apabila varian baharu COVID mula mengambil alih. Dalam pada itu, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS berkata pada minggu lalu bahawa 21 daripada 36 buah daerah di Oregon dianggap berisiko ‘tinggi’ terhadap virus berkenaan.
Manakala pada Sabtu lalu, atlet Britain, Morgan Lake mengumumkan dia telah dipaksa untuk menarik diri daripada Kejohanan Dunia selepas disahkan positif COVID. – AFP