Wabak kolera di Nigeria ragut lebih 2,000 nyawa

LAGOS, 7 SEPT – Angka kematian akibat wabak kolera di Nigeria sejak Januari telah mencecah 2,141 daripada lebih 65,000 kes disyaki, kata Pusat Kawalan Penyakit Nigeria (NCDC).

Dalam kemas kini terbaharu mengenai wabak itu pada hari ini, agensi kesihatan berkenaan memaklumkan sejumlah 65,145 kes disyaki kolera telah dilaporkan dari 23 negeri dan di Wilayah Persekutuan dengan 2,141 kematian. 

Kes baharu yang disyaki dalam seminggu antara 23 Ogos hingga 29 Ogos berkurang kepada 2,127 berbanding 3,098 kes pada minggu sebelumnya.

Kolera adalah penyakit yang sangat virulen, ia disifatkan paling teruk dan mereka yang dijangkiti akan mengalami cirit-birit berair akut sehingga boleh mengakibatkan kematian.

Wabak kolera masih melanda Nigeria setiap tahun terutama ketika musim hujan dan kerap di kawasan padat penduduk yang tidak mempunyai kemudahan sanitasi baik serta kekurangan air dan makanan bersih. – Bernama