Thursday, February 20, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Wabak rabies: Jawatankuasa khas ditubuhkan

    KUCHING, 21 Julai – Satu Jawatankuasa Khas Kerjasama Pencegahan dan Kawalan Wabak Rabies akan ditubuhkan bagi memudahkan Sarawak dan Kalimantan berkomunikasi dalam menangani wabak penyakit anjing gila itu.

    Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata susulan penubuhan itu, jawatankuasa khas Sarawak dan Kalimantan akan mengadakan mesyuarat di sempadan kedua-dua belah kawasan itu.

    Sarawak akan diwakili Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Transformasi Luar Bandar) Datuk Jaul Samion manakala Konsul Fungsi Konsuler Muhammad Abdullah akan mewakili Konsulat Jeneral Republik Indonesia di Kuching.

    “Jawatankuasa ini menetapkan enam agenda untuk dicapai iaitu perkongsian berkenaan wabak Rabies daripada kedua-dua pihak yang terlibat; langkah-langkah kerjasama yang akan diambil bagi mencegah dan mengawal wabak rabies; membentuk kumpulan khas yang akan membantu dalam usaha mencegah dan mengawal rabies.

    “Selain itu, jawatankuasa ini akan mengadakan kerjasama antara petugas-petugas dan kerjasama daripada pihak keselamatan contohnya askar dan polis; mengadakan mesyuarat bersama pakar kesihatan berkenaan langkah untuk membendung wabak rabies dan menjaga sempadan rasmi dan tidak rasmi supaya anjing dari negara jiran tidak memasuki sempadan Sarawak,” kata sekretariat itu dalam kenyataan di sini, hari ini.

    Dalam kenyataan berasingan, sekretariat itu berkata secara kumulatif, sebanyak 260 kes gigitan baru dikesan di Serian dan Sri Aman bagi tempoh 2 Julai hingga hari ini.

    “Ini menjadikan bilangan kes kumulatif gigitan anjing yang berlaku semenjak 1 April hingga ke hari ini berjumlah 624 kes,” kata kenyataan itu.

    Selain itu, seramai 395 orang datang untuk menerima suntikan vaksin dan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak sedang berusaha menghubungi mereka yang belum mendapatkan suntikan itu.

    Sekretariat itu berkata sebanyak 12,635 ekor haiwan peliharaan terdiri daripada 4,995 ekor anjing, 7,595 kucing dan 45 haiwan lain di kawasan yang terlibat dalam wabak rabies telah divaksinkan setakat hari ini. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda