Wabak selesema burung dilapor di Mesir

KAHERAH, 21 DIS – Pihak berkuasa tempatan di kawasan luar bandar Mesir telah mengisytiharkan keadaan darurat selepas mengesan dua wabak selesema burung.

Nagy Awad, ketua agensi veterinar di barat daya wilayah al-Wadi al-Gedid, berkata semalam selesema burung dikesan di dua ladang ternakan di kampung Ezab al-Qasr dan Oweina di Oasis Dakhla, terletak lebih 750 kilometer dari ibu negara Kaherah. Beliau berkata ayam yang dijangkiti dibunuh dan pihak berkuasa telah menjalankan pemeriksaan perubatan ke atas penduduk yang mempunyai kontak dengan ayam. Virus itu, yang merebak menerusi kontak dengan haiwan dijangkiti, boleh mengakibatkan penyakit serius atau kematian dalam manusia.

Mesir mengalami wabak besar selesema burung pada 2006 yang membawa kepada penggantungan semua eksport haiwan ternakan. Pihak berkuasa telah mendesak untuk memperbaharuinya, dan pada awal tahun ini, Pertubuhan Kesihatan Haiwan Dunia, badan antara kerajaan, telah mengumumkan Mesir bebas selesema burung untuk kali pertama dalam 14 tahun.

Mesir berdepan risiko tinggi disebabkan kebanyakan ladang ternakan terletak di kawasan perumahan. Ramai warga Mesir juga membela merpati dan ayam di rumah untuk menambah pendapatan mereka. Malah di kawasan bandar yang padat, burung dikurung di atas bumbung, beranda dan halaman. – AP