Wednesday, October 16, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    WADA: Pembatalan penggantungan Rusia dinilai semula

    PARIS, 20 Sept – Bintang terkenal seperti Paula Radcliffe dan Valerie Adams memimpin tuntutan atlet semalam meminta WADA supaya memikirkan semula rancangan untuk membatalkan penggantungan Rusia, mendakwa badan anti dadah itu ‘terhutang kepada semua atlet bersih untuk menjadi penjaga sukan yang bersih.’

    WADA mengejutkan dunia sukan pada minggu lalu selepas mengumumkan bahawa jawatankuasa kajian pematuhan badan telah bercadang untuk membatalkan penggantungan selama tiga tahun ke atas Agensi Anti-Dadah Rusia (RUSADA). Keputusan itu dijangka diumumkan pada satu mesyuarat WADA di Seychelles hari ini.

    Bagaimanapun, pemegang rekod dunia maraton wanita Radcliffe dan juara lontar peluru Olimpik dan dunia Adams telah meletakkan nama mereka dalam surat Suruhanjaya Atlet IAAF menggesa WADA supaya menarik balik keputusan mereka.

    “Komuniti sukan di seluruh dunia telah bercakap dan mesejnya adalah konsisten dan jelas: ‘RUSADA tidak boleh diisytiharkan mematuhi peraturan sehingga kesemua syarat-syarat yang ditetapkan dalam Garis Panduan dipenuhi,’ tulis mereka.

    “Kami percaya sebarang kompromi terhadap Garis Panduan akan mencemari reputasi WADA dan menyebabkan sukan global mendapat nama buruk.”

    WADA menggantung RUSADA pada tahun 2016 selepas mengumumkannya tidak mematuhi peraturan ekoran pendedahan skim yang disokong oleh Moscow untuk mengelak penguji dadah.

    Satu laporan WADA oleh peguam Kanada Richard McLaren menuduh pihak berkuasa Rusia sebagai mengendali program dadah yang kompleks dengan sokongan penuh daripada Kementerian Sukan Rusia dan perkhidmatan rahsia Rusia atau FSB.

    Pegawai Rusia sebelumnya menyimpulkan bahawa sistem dadah mereka telah menemui kegagalan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda