Wadah untuk menabung pahala

Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 SEPT – Orang ramai kini berpeluang menghulurkan sumbangan kepada Tabung Dana Bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam dengan mudah menerusi perkhidmatan pesanan ringkas (SMS) yang dilancarkan bermula hari ini hingga 8 Mac depan.

Majlis pelancaran perkhidmatan SMS itu berlangsung di Dewan Multaqa, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) hari ini, disempurnakan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku pengerusi Jawatankuasa Pengutipan dan Pengeluaran Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam.

Pelancaran disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif DST Sdn Bhd, Radin Sufri bin Radin Basiuni; Ketua Pegawai Eksekutif Progresif Cellular Sdn Bhd, Hajah Nurul Haniah binti Haji Mohd Jaafar; Ketua Pegawai Eksekutif imagine Sdn Bhd, Dayang Suzannawati binti Haji Suharju dan Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Haji Amir Hisham bin Haji Masri selaku ketua urus setia tabung dana berkenaan.

Sumbangan boleh disalurkan melalui perkhidmatan SMS dengan menaip MASJID diikuti 1 atau 5 atau 10 atau 15 atau 20 atau 50 atau 100 (bagi jumlah)tanpa jarak (MASJID100) dan hantar ke talian 38111 bagi pelanggan DST dan Progresif serta 39999 bagi pelanggan imagine.

Penubuhan Tabung Dana Bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam dihasratkan menjadi wadah kekal untuk menabung pahala melalui membina masjid, sekali gus sebagai satu peluang keemasan untuk bertanam saham di akhirat.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama semasa melancarkan SMS Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid, kelmarin.
Gambar ramai bersama Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama pada majlis pelancaran berkenaan.
Antara jemputan yang hadir pada Majlis Pelancaran Perkhidmatan SMS Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam, di KHEU, kelmarin.

Pelancaran tersebut juga memberi peluang masyarakat di negara ini menginfaqkan (membelanjakan) harta yang dimilikinya dengan niat sebagai ibadah dan melipatgandakan amal kebajikan mereka semata-mata bagi meraih ganjaran pahala yang dijanjikan Allah SWT kepada orang-orang yang membina masjid.

Tabung Dana Bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam sehingga Julai 2020, secara keseluruhannya berjaya mengutip sebanyak $12,570,069,01.

Dua projek pembinaan masjid baharu dan tiga projek pemuliharaan masjid telah siap dilaksanakan dengan menggunakan peruntukan tabung berkenaan.

Kemajuan yang dicapai merupakan sambutan, komitmen dan sumbangan seangkat-hati orang ramai terhadap tabung dana berkenaan dengan niat untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Majlis pelancaran perkhidmatan SMS tersebut diserikan dengan tayangan video klip ‘Pelancaran Perkhidmatan SMS Tabung Dana Bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam’ dan diikuti dengan acara penghantaran sumbangan melalui SMS beramai-ramai oleh para hadirin.