Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Sept – Awang Muhammad Abdul Wafi bin Haji Sofian dan Joshua-Ryan Koh Yie masing-masing diumumkan sebagai johan Kategori Bahasa Melayu dan Kategori Bahasa Inggeris dalam Pertandingan Pidato Multimedia di Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah (Maktab Duli).
Pertandingan yang berlangsung di Pusat Pembelajaran Pelajar Maktab Duli itu menampilkan enam orang pelajar maktab berkenaan yang berjaya menyertai pusingan akhir pertandingan berkenaan dengan tema ‘Peranan MDians Merealisasikan Wawasan 2035’.
Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh Pemangku Pengetua Maktab Duli, Hajah Monaliza binti Haji Abdul Halim.
Ketua Exco Perhubungan Awam, Majlis Perwakilan Pelajar sesi 2017/2018 Dayang Nurul Ajeeratul binti Ghani menjelaskan, pertandingan pidato itu dihasratkan sebagai wadah pemberigaan pelajar maktab berkenaan untuk berani bercakap di khalayak awam.


Di samping itu untuk berkongsi maklumat dan pendapat mereka kepada orang ramai terutama dalam kalangan pelajar yang menuntut di maktab tersebut serta berkongsi pendapat dan maklumat mengenai wawasan 2035 seterusnya dapat mempamerkan akan kreativiti pelajar yang menyertai pertandingan.
Beliau seterusnya menjelaskan, pertandingan itu juga dapat mengasuh pemikiran pelajar untuk berfikir secara lebih rasional dalam membincangkan pengalaman budaya dengan teratur serta mencurahkan buah fikiran atau pendapat dengan lebih jelas dan menarik.
Pertandingan tersebut dikendalikan oleh Exco Perhubungan Awam maktab berkenaan.