Wafi ungguli Ping Pong Bawah 21 Tahun

Oleh Fadhil Yunus

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 April – Awang Abdul Wafi bin Suhardi menjuarai Kejohanan Ping Pong Junior Brunei Bawah 21 Tahun selepas menang 4-0 ke atas Awangku Abd Hakkem pada final di Kompleks Sukan Menglait kelmarin.

Pemenang Bawah 21 Tahun itu juga memenangi pingat emas dalam beregu campuran bersama rakannya, Fiona Hii, sekali gus berjaya mempertahankan gelaran mereka tahun lepas.

Rakan beregunya, Fiona Hii juga mencatatkan kejayaan setelah memenangi kesemua lima pertandingan dari tahun lalu.

Pemain ping pong negara yang menimba pengalaman setelah beraksi dalam pertandingan Persatuan Ping-Pong Asia Tenggara (SEATTA) itu muncul juara acara perseorangan wanita 18-21 dan beregu dalam acara bawah 21 tahun.

Sementara itu, Awang Mohd Khairuddin Omar memenangi gelaran pemain Bawah 18 Tahun selepas mencatatkan kemenangan 4-0 ke atas Awangku Mohd Sufi bin Pengiran Mohd Sufian.

Kedua-dua finalis bawah 18 tahun itu juga bergandingan dalam beregu lelaki bawah 18 tahun dan menang 3-1 ke atas gandingan Awangku Abdul Basheer bin Pengiran Haji Mohd Noor dan Awangku Amd Hilmanuddin bin Pengiran Haji Baharuddin. Bagi pemenang lelaki dan perempuan Bawah 13 Tahun dan 15, trio Chin Fong Bin, Awangku Abd Basheer dan Phoebe Chong masing-masing mencatatkan kejayaan.

Chin Fong Bin memenangi gelaran Bawah 13 Tahun selepas menewaskan Felix Low Guo Zhang 4-1 dan Phoebe Chong pula menewaskan Ling Yi Zhen 4-2.

Selepas tewas lima set pada pertandingan akhir tahun lalu, Awangku Abdul Basheer akhirnya memenangi gelaran Bawah-15 tahun selepas menewaskan Leslie Chin Yi Zhen 4-0.

Hadir menyampaikan hadiah-hadiah ialah Naib Presiden Persatuan Ping Pong Brunei Darussalam (BDTTA), Sheikh Haji Said bin Sheikh Haji Yahya dan Haji Rusli bin Haji Yussof.

Awang Abdul Wafi bergambar ramai bersama para pemenang yang lain.