Wahid pernah ‘dimarahi’ kongsi kisah berhijrah

Pelakon, pelawak dan pengacara Wahid akui pernah ‘dimarahi’ kerana berkongsi kisah penghijrahannya kepada masyarakat.

Menurut Wahid atau nama sebenarnya Abdul Wahid Mohamad, anaknya kurang selesa apabila cerita perubahan imejnya sering ditonjolkan menerusi media.

“Saya kata kepada mereka, nak buat macam mana bila media tanya, saya kena jelaskan.

“Sebagai individu milik masyarakat yang orang kenal, apabila tengok kita berubah, pergi masjid, pasti orang kaitkan dengan benda ini.

“Bagi saya sama ada kita betul-betul nak berubah 100 peratus atau 50 peratus, terserahlah.

Wahid akui pernah `dimarahi’ kerana berkongsi kisah penghijrahannya kepada masyarakat. – Agensi

“Yang penting kita kena buat benda ini.

“Sebagai seorang bapa, dapat tunjuk sikit pun okeylah bagi saya,” katanya.

Jelas Wahid, dia juga kini memilih untuk tinggal di Ipoh kerana lebih tenang bersama isteri dan anak-anak.

Menurutnya, selain selesa tinggal di bandar ‘pencen’ itu, keputusan untuk tinggal di Ipoh juga dibuat bagi menjaga kedua-dua mentuanya selepas ibunya sendiri meninggal dunia.

“Memang saya target duduk di Ipoh sejak dulu walaupun ada kerjaya di Kuala Lumpur.

“Selepas dapat anak kedua, saya balik semula ke Ipoh.

“Saya sekarang tenang bersama keluarga di Ipoh.

“Syukur juga perniagaan online isteri pun dapat sambutan. Rezeki anak pun Allah dah aturkan dan mesti ada,” katanya.

Wahid berkata demikian ketika ditemui di lokasi penggambaran filem Jaga-Jaga Senariounion di Jannah Wedding Place, Beranang.

Filem Jaga-Jaga Senariounion terbitan Botak Production Management Sdn Bhd dijangka menemui penonton tidak lama lagi menerusi Astro First.

Filem terbaharu menampilkan kesemua ahli Senariounion (kecuali Lan) turut dibintangi Syanie, Bobby Kiran, Prono, Amm Raja Lawak, Farisha dan Badrul Shah. – Agensi