KABUL, Afghanistan, 11 Julai – Seorang juruterbang wanita warga Afghanistan-Amerika dalam penerbangan solo mengelilingi dunia berusaha untuk memberi inspirasi kepada semua wanita, telah membuat lencongan untuk melawat negara asalnya Afghanistan – dan bertemu presiden negara itu dan aktivis masyarakat awam yang bergelut untuk melindungi hak-hak wanita.
Shaesta Waiz meninggalkan pesawat enjin tunggalnya di Dubai, Emiriah Arab Bersatu untuk mengambil penerbangan ke Kabul di mana dia tiba pada malam kelmarin.
Wanita berusia 29 tahun itu berkata pesawat Beechcraft Bonanza A36 tidak sesuai untuk terbang di kawasan pergunungan negara asalnya.
Waiz, juruterbang wanita pertama dari Afghanistan, memulakan perjalanannya di Florida pada Mei dan sejak itu telah membuat perhentian di 11 buah negara, dengan lapan lagi untuk menamatkan misinya.
“Tujuan sebenar penerbangan ke seluruh dunia ini adalah bukan untuk menempah rekod dunia,” kata Waiz semasa majlis menyambut kedatangannya oleh para pegawai kerajaan dan aktivis di Kabul.

“Tujuan perjalanan ini adalah untuk memberi inspirasi belia lelaki dan perempuan untuk percaya diri mereka, percaya apa yang mereka boleh lakukan, tanpa mengira dari mana asal usul mereka atau cabaran apa yang terpaksa dihadapi dalam kehidupan.”
Presiden Afghanistan, Ashraf Ghani mengalu-alukan Waiz di pejabatnya pada malam semalam dan memberitahu dia sangat mengagumi keberaniannya.
Waiz juga berjanji kepada wanita Afghanistan bahawa sebaik saja penerbangan keliling dunianya sudah selesai, dia akan pulang dan mencari jalan untuk membantu mereka.
Waiz dan keluarganya berpindah ke Amerika Syarikat pada 1987 tempat dia mendapat lesen juruterbangnya, menjadi juruterbang wanita muda yang diiktiraf dari Afghanistan.
Dia berlepas dari Pantai Daytona di Florida pada Mei dan telah merancang laluannya dengan teliti yang membawanya mengelilingi 19 buah negara kira-kira 25,800km jauhnya termasuk Kanada, Sepanyol, Britain, Itali, Greece, Mesir, Bahrain, India, Singapura dan Australia, sebelum menamatkan perjalanannya ke AS pada Ogos. – AP