Wajah ceria para graduan UBD meraih kejayaan dan kegemilangan

Oleh Lenna N.B.

 

DALAM barisan para graduan, hati berdebar-debar. Setiap langkah mereka, bukanlah sekadar langkah tanpa arah tuju, tetapi langkah kejayaan yang membawa makna penuh bererti. Inilah hari yang dinanti-nantikan, menerima segulung ijazah tanda kemenangan. Kemenangan setelah bekerja keras, tenaga dan fikiran, yang kadang-kala begitu menakutkan. Rasa putus asa berkali-kali berbisik, tetapi demi mencapai impian dan harapan ibu bapa yang tak terungkapkan, mereka akhirnya pulang membawa kertas, kertas yang bernama, kertas yang tercoret setiap cita dan impian.

Begitulah perasaan yang tak terungkapkan oleh para graduan di Majlis Konvokesyen Universiti Brunei Darussalam yang ke -29, pada baru-baru ini, 15 Zulhijah, 1438, bersamaan dengan 7 September 2017. Sebaik sahaja penulis melangkahkan kaki ke Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam pada hari tersebut, semangat berkobar-kobar para graduan begitu terasa. Wajah mereka tersenyum ceria, bangga memakai jubah graduan meraikan hari kejayaan bersama.

“Apabila nama saya disebut, hati saya berdebar dan pada masa yang sama gembira.

Perasaan berdebar itu sudah dirasai apabila saya berdiri dari kerusi dan berjalan berbaris menuju ke pentas. Semakin dekat ke pentas, semakin berdebar, tetapi setelah menerima Ijazah daripada tangan Baginda Sultan sendiri, saya berasa begitu terharu yang tidak mampu saya sendiri ungkapkan. Walau hanya beberapa saat sahaja detik itu bersama pemimpin tercinta, tetapi ia adalah waktu yang istimewa buat kami semua,” ucap Dayang Nur Raihani binti Haji Md. Raikhan, penerima Ijazah Sarjana Muda Perniagaan.

Berdiri di samping ibu bapa tercinta, ternyata wajah mereka tercoret kegembiraan kerana kejayaan anak umpama kejayaan mereka juga. Bagi Dayang Nur Raihani, sejak mula melangkahkan kaki ke universiti hingga ke hari ini, ibu bapanya lah menjadi sumber inspirasi utama yang memberi erti semangat kepada usahanya selama empat tahun di universiti.

Sekitar luar dewan Canselor, sekumpulan mahasiswa-mahasiswi BpmFass berdiri menanti senior-senior mereka keluar dewan untuk meraikan hari kejayaan mereka bersama.
Hari yang gembira buat anak tercinta adalah hari kejayaan buat ayah dan ibu.
Segulung ijazah hadiah kepada insan yang menjadi sumber inspirasi dan pembakar semangat.
Ibubapa berasa bangga melihat kejayaan anak tercinta.

Pengalaman yang bererti di universiti

Universiti mungkin hanya dilihat sebagai sebuah institusi pendidikan, namun bagi para graduan, universiti bukan sekadar tempat untuk belajar, tetapi juga mengajar erti persahabatan, berdikari, berdisiplin, berfikiran kritis dan mengajar erti sabar serta tidak putus asa kerana sepanjang pengajian bukanlah mudah, tetapi penuh cabaran. Para graduan perlu melakukan kajian dan penerokaan.

“Kami setiap graduan ditugaskan melakukan projek. Memandangkan subjek saya berkenaan dengan Sains, saya banyak melakukan kajian dalam makmal. Walau penuh kesukaran dan cabaran, tanpa disangka, saya berjaya juga menyelesaikannya bersama rakan-rakan seperjuangan.

Pengalaman ini mengajar saya erti sabar. Ibu bapa juga banyak memberi sokongan padu, dan hari ini bukan sahaja hari paling gembira buat saya, tetapi juga mereka. Ternyata kesabaran dan semangat saya menghadapi kesukaran sebelum ini, terbalas setelah menerima ijazah pada hari ini,” terang Awangku Hafiz bin Pengiran Haji Shahrum tersenyum gembira mengimbas pengalamannya di universiti.

Menurutnya, pada tahun tiga sempena program ‘Discovery Year’, beliau telah dihantar ke Dubai dan Bangkok untuk melakukan latihan kerja. Program tersebut adalah usaha Universiti Brunei Darussalam dalam memperkembangkan kemahiran mahasiswa-mahasiswi peringkat antarabangsa, yang memberi peluang untuk mereka merasai sendiri suasana pekerjaan atau pengajian di luar. Di samping itu, ia juga membentuk mahasiswa-mahasiswi untuk lebih berdikari, dan luas pengetahuan di bidang yang diceburi.

Awang Mohd. Aliff penerima Ijazah Doktor Falsafah dalam Pendidikan datang dari Malaysia bersama keluarga meraikan hari konvokesyen.
Awangku Hafiz penerima Ijazah Sarjana Muda Sains Kesihatan tersenyum gembira bersama keluarga tercinta.

Penulis juga sempat menemu ramah salah seorang graduan penerima Ijazah Doktor Falsafah dalam pendidikan, Awang Mohd. Aliff bin Mohd. Nawi, berasal dari Malaysia tentang pengalamannya menuntut di Universiti Brunei Darussalam.

“Dalam program doktor falsafah, saya perlu bertindak sebagai pengkaji dan peneroka. Saya perlu melahirkan idea-idea baru, yang dapat dimanfaatkan dalam dunia pendidikan. Pensyarah-pensyarah dan kawan-kawanlah banyak membantu ketika saya dalam kesukaran. Apa yang penting, kita menyasarkan kejayaan bukan untuk diri sendiri, tetapi juga untuk membantu masyarakat,” ucap Awang Mohd. Aliff.

Beliau gembira dapat belajar di Universiti Brunei Darussalam yang telah mula mendapat tempat di dunia. Paling istimewa sekali adalah apabila kali pertama dapat bersalam dan menerima ijazah daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Suasana selepas Majlis Konvokesyen

Di Majlis Konvokesyen, para ibu bapa berpeluang menyaksikan anak-anak mereka naik ke atas pentas menerima pengurniaan ijazah. Terselit rasa bangga di sudut hati mereka.

Sebaik sahaja Majlis Konvokesyen selesai, ibu bapa keluar mencari anak-anak mereka, tidak sabar untuk bertemu dan menzahirkan rasa gembira. Ada juga yang menanti di luar dewan dengan bunga dan belon untuk meraikan kejayaan mereka. Begitu juga, para graduan sebaik sahaja keluar daripada Dewan Canselor, mereka mencari wajah ibu bapa tercinta untuk merakamkan hari istimewa tersebut.

Detik paling terindah sekali adalah saat pertemuan. Si anak dengan bangga menunjukkan sijil ijazah kepada ayah dan ibu, berkata dalam bisik, ‘inilah hadiah untuk bapa dan mama’. Begitulah antara suasana yang sungguh bererti sekitar selepas acara konvokesyen.

Awang Abdul Faiz telah dianugerahkan Kepujian Kelas Kedua Atas Ijazah Sarjana Muda Sastera.
Perjuangan bersama membawa erti persahabatan.
Dayang Nur Raihani tersenyum gembira di samping ibu bapa tercinta.
Terakamnya sejarah kejayaan melahirkan rasa bangga yang bererti.

“Apa yang saya dapat pada hari ini, sebenarnya hadiah untuk ibu bapa saya. Merekalah yang menjadi sumber semangat saya untuk terus kuat sepanjang pengajian di universiti, begitu juga rakan-rakan seperjuangan.

Tanpa mereka, saya tidak akan mungkin naik ke pentas menerima ijazah ini,” ujar Awang Abdul Faiz bin Abdul Rahim yang mendapat Kepujian Kelas Kedua Atas Ijazah Sarjana Muda Sastera.

Menariknya, bukan sahaja ibu bapa yang turut berkongsi kegembiraan di hari tersebut, tetapi juga rakan-rakan dan para sahabat. Mereka sanggup berdiri di bawah terik panas matahari semata-mata menunggu rakan mereka keluar dari dewan konvokesyen. Kain rentang di buka seluasnya, mengucapkan tahniah kepada mereka.

“Bagi kami, meraikan hari konvokesyen bersama mereka adalah suatu penghargaan kami kepada mereka.

Selaku rakan dan sahabat, kami mempunyai detik pahit manis bersama, jadi di hari yang penuh bererti ini, kami berdiri di sini sebagai tanda kasih kepada rakan-rakan yang telah menerima sijil hari ini. Kejayaan mereka adalah kegembiraan kami yang patut diraikan bersama,” jelas Mahasiswa-Mahasiswi daripada BpmFASS, yang datang beramai-ramai semata-mata meraikan hari konvokesyen bersama senior mereka.

Begitulah keceriaan dan kegembiraan yang terlakar di hari konvokesyen. Padang hijau menjadi saksi, belon-belon mewarnai angkasa, dan bunga tanda kasih yang tidak mampu diucapkan melalui kata-kata. Hanya wajah kegembiraan yang tercoret, si ibu memeluk anak tercinta, si ayah menyeka air mata terharu, dan para sahabat meraikan detik indah itu bersama. Hari ini, lahir lagi para ilmuwan di persada bumi Darussalam.