Wajah kampung tradisi semakin berbeza

BAHAU – Pintu gerbang “Selamat Datang Ke Daerah Jempol” yang tegak berdiri sebelum memasuki pekan Batu Kikir memberi isyarat sudah memasuki daerah paling timur di negeri adat pepatih, Negeri Sembilan. Batu Kikir sinonim dengan jambatan besi hingga ia dimasukkan di dalam lirik lagu “Apo Nak Dikato” nyanyian kumpulan Blues Gang yang pernah menjadi siulan peminatnya satu masa dahulu.

Jambatan sempit daripada besi yang cukup berjasa khususnya kepada masyarakat setempat kini hanya tinggal sejarah setelah ia digantikan dengan jambatan konkrit. Pekan kecil Batu Kikir dikenali dengan imejnya yang berciri ‘ala koboi’ satu ketika dahulu.

Ketika itu, hanya dua baris bangunan kayu yang telah uzur di kiri kanan jalan sebelum bertukar wajah dengan bangunan kedai batu yang moden dan teratur sejak lebih 10 tahun yang lepas. Pada waktu siang, pekan ini tidak pernah sunyi terutama sebelum dan selepas sesi persekolahan yang menjadi tempat persinggahan pelajar di Sekolah Menengah Batu Kikir.

Pasar Tani hari minggu pada setiap pagi Ahad di pekan ini juga cukup meriah. Bukan sahaja masyarakat setempat di Jempol tetapi mereka di luar daerah Jempol juga datang ke sini bagi mendapatkan sayur-sayur kampung dan barang basah seperti ikan dan daging. Daging salai, ayam, puyuh dan ikan keli salai yang cukup dikenali di Negeri Sembilan turut dijual di Pasar Tani ini yang rata-rata peniaganya adalah penduduk tempatan di daerah ini.

Pembangunan di hadapan mata

Terdapat beberapa jalan lain untuk ke daerah Jempol antaranya melalui pekan Juaseh dan terus ke bandar Bahau yang menjadi pusat perniagaan utama di daerah ini. Bagaimanapun jalan Batu Kikir menjadi laluan utama bukan sahaja untuk ke bandar Bahau yang jaraknya hanya kira-kira 10 kilometer tetapi juga ke Bandar Seri Jempol yang kini menjadi pusat pentadbiran daerah yang menempatkan bangunan kerajaan seperti Majlis Daerah Jempol, Pejabat Tanah Daerah, dan Pejabat Agama.

Teratak Za’ba  yang dibina bagi mengenang jasa tokoh pembangunan Bahasa Melayu, Zainal Abidin Bin Ahmad atau Za’ba di kampung kelahirannya di Kampung Bukit Kerdas menjadi salah satu lokasi tarikan yang boleh disinggahi. – Bernama
Teratak Za’ba  yang dibina bagi mengenang jasa tokoh pembangunan Bahasa Melayu, Zainal Abidin Bin Ahmad atau Za’ba di kampung kelahirannya di Kampung Bukit Kerdas menjadi salah satu lokasi tarikan yang boleh disinggahi. – Bernama

Bandar Seri Jempol juga menjadi penghubung utama ke negeri-negeri bersempadan dengan Negeri Sembilan antaranya Segamat, Johor dan Rompin, Pahang. Sebagai anak kelahiran daerah ini yang dibesarkan di sebuah kampung tradisi iaitu Kampung Lonek, penulis melihat pembangunan rancak yang berlaku terutama sejak enam tahun kebelakangan ini yang bukan sahaja tertumpu di bandar Bahau malah tempiasnya sampai ke kampung-kampung berdekatan.

Paling ketara, pembinaan taman-taman perumahan baharu di dalam kawasan kampung yang kini seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Sepanjang Jalan Batu Kikir-Bahau tidak kurang lapan buah taman perumahan baharu yang telah siap dan sedang dibina di beberapa buah kampung antaranya Kampung Simpang Bahau, Kampung Bukit Kerdas, Kampung Gajah Mati, Kampung Serting Hilir, Kampung Bukit Tinggi, Kampung Bukit Laka dan Kampung Bukit Kelulut.

Tanah yang dahulunya berstatus pertanian bertukar kepada kawasan penempatan yang memberi wajah baharu kepada kampung tradisi. Jika sebelum ini hanya pesara dan warga emas yang masih setia di kampung kerana kebanyakan anak muda keluar berhijrah untuk bekerja, kini keadaannya berbeza dengan pertambahan penduduk dari perumahan-perumahan baharu yang wujud.

Suasana kampung yang masih kekal

Di sebalik pembangunan dan pembinaan taman-taman perumahan baharu, ciri-ciri perkampungan tradisi masih lagi utuh yang boleh dilihat di sepanjang Jalan Batu Kikir-Bahau. Teratak Za’ba yang dibina bagi mengenang jasa tokoh pembangunan Bahasa Melayu, Zainal Abidin Bin Ahmad atau Za’ba di kampung kelahirannya di Kampung Bukit Kerdas menjadi salah satu lokasi tarikan yang boleh disinggahi terutama yang melalui jalan ini.

Selain itu, pemandangan sawah padi di sebelah kanan jalan menyegarkan mata yang memandang menambah keindahan suasana kampung di sini. Tanah sawah yang sebelum ini terbiar tidak diusahakan, dipajakkan kepada pihak swasta untuk penanaman semula padi lebih 12 tahun yang lepas.

Ia telah memberi nilai tambah kepada kampung-kampung di sini terutama di Kampung Lonek hingga menjadi antara produk pelancongan daerah Jempol dengan menyediakan homestay yang memberi peluang pelancong merasai suasana dan kehidupan sebenar di kampung.

Pembinaan taman-taman baharu sedikit sebanyak melenyapkan rumah-rumah tradisi yang sebelum ini boleh dilihat dengan pelbagai warna dan bentuk menarik yang menggambarkan identiti pemiliknya. Paling penulis ingat, sebuah rumah tradisi tersergam indah berwarna biru di tepi jalan besar di Kampung Gajah Mati.

Deretan kedai yang terdapat di pekan Bahau yang menjadi pusat perniagaan daerah Jempol. – Bernama
Deretan kedai yang terdapat di pekan Bahau yang menjadi pusat perniagaan daerah Jempol. – Bernama
Mercu tanda yang terdapat di pekan Bahau yang menjadi pusat perniagaan daerah Jempol. – Bernama
Mercu tanda yang terdapat di pekan Bahau yang menjadi pusat perniagaan daerah Jempol. – Bernama

Selain cantik dengan tanah yang lapang, kedudukannya berhampiran jalan utama menyebabkan rumah itu menjadi tumpuan mereka yang melalui jalan Batu Kikir-Bahau. Bagaimanapun sejak enam tahun lepas, rumah itu telah bertukar menjadi sebuah taman perumahan setelah pemilik asalnya meninggal dunia.

“Banyak dah rumah-rumah tinggal yang dah dibuek (dibuat) taman perumahan. Sayang botul (betul) habih (habis) dah rumah-rumah lamo (lama),” ujar mak cik Khadijah, seorang daripada penduduk dari Kampung Tebat menyuarakan mengenai pembinaan taman-taman baharu di sini. Mungkin ada nilai sentimental bagi beliau yang dilahir dan dibesarkan di sini sejak lebih 74 tahun yang lepas.

Kampung makin meriah

Rumah-rumah kampung terbiar tidak berpenghuni bukan sesuatu yang asing di daerah ini. Setelah ibu bapa meninggal dunia, kebanyakan anak yang keluar dari kampung mencari rezeki terutama di Seremban dan Kuala Lumpur selesa meneruskan kehidupan mereka di bandar.

Rumah di kampung dibiarkan sepi tanpa penghuni. Apabila rumah tradisi ini yang kebanyakan daripada kayu papan tidak berjaga dan dibersihkan, ia mudah rosak dimakan anai-anai hingga mencacatkan pemandangan. Ada baiknya juga rumah atau tanah terbiar di kawasan kampung ini dibangunkan dengan taman perumahan supaya lebih ramai yang dapat duduk di kampung. Tidaklah kampung bertambah sunyi, ujar Abu Zarin Bahali, Ketua Kampung Bukit Laka.

Kampung Bukit Laka adalah kampung paling hampir dengan bandar Bahau dan menjadi kampung pertama yang membuka taman perumahan di kawasannya pada awal tahun 2010. Semenjak menjadi ketua kampung enam tahun lepas, empat buah taman baharu dibina di kampungnya iaitu Taman Saga, Taman Kepayang 1, Taman Kepayang 2 dan Taman Delima.

Kewujudan taman-taman perumahan ini telah menambah jumlah penduduk di Kampung Bukit Laka yang kini lebih kurang 800 orang. Sebelum ini penduduk di kampung ini sekitar 300 orang. Hasil bancian yang dibuat terdapat 170 rumah kampung di Kampung Bukit Laka dan 200 buah rumah di keempat-empat taman perumahan yang ada.

Mungkin ramai yang berminat untuk tinggal dalam suasana kampung yang aman damai menyebabkan mereka memilih untuk tinggal di taman perumahan di dalam kawasan kampung, katanya. “Saya setuju apabila adanya taman di dalam kampung. Di Kampung Bukit Laka sendiri telah melihat perubahan itu. Jika dahulu kampung di sini sunyi, hanya orang tua sahaja yang tinggal.

“Semenjak adanya taman ini, suasana lebih meriah dengan pertambahan penduduk dan mereka yang tinggal dalam taman ini juga tidak mengasingkan diri sebaliknya hidup bermasyarakat dengan penduduk kampung,”katanya. Surau di kampung juga katanya telah hidup kembali dengan pelbagai aktiviti termasuk solat berjemaah maghrib dan isyak setiap malam. – Bernama