Thursday, October 10, 2024
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Wajah separuh berbeza

    WANITA tinggi lampai ini tidak akan sesekali meninggalkan rumahnya tanpa mengenakan aksesori paling penting baginya iaitu sepasang kaca mata hitam.

    Biarpun hanya mencuci mata di pusat beli-belah, Ivanka Danisová akan memastikan dia memakai kaca mata hitamnya itu. Wanita itu bukanlah mahu bergaya, sebaliknya dia cuba untuk menyembunyikan kecacatan wajahnya yang menyebabkan dia hilang keyakinan diri.

    Danisová disahkan menghidap satu keadaan pelik dipanggil sindrom Goldenhar yang menyebabkan bahagian kiri dan kanan wajahnya kelihatan berbeza. Hal ini disebabkan tulang kranial tidak berkembang pada bahagian sebelah kanan muka Danisová dan ia akan kekal sebegitu memandangkan sindrom Goldenhar tiada penawar.

    Penyakit aneh yang menyerang seorang daripada 25,000 anak damit di dunia itu akan menyebabkan kecacatan pada bentuk muka, mata dan telinga penghidapnya. Selain itu, organ dalaman Danisová seperti jantung, buah pinggang dan hati turut berdepan kerosakan yang mengancam nyawanya.

    Sepanjang hayatnya, wanita berusia 30 tahun itu akan menyembunyikan keadaan wajahnya dengan menggunakan rambut panjangnya atau pun memakai kaca mata hitam.

    Ivanka Danisová menghidap satu keadaan pelik dipanggil sindrom Goldenhar yang menyebabkan bahagian kiri dan kanan wajahnya kelihatan berbeza.
    Ivanka Danisová menghidap satu keadaan pelik dipanggil sindrom Goldenhar yang menyebabkan bahagian kiri dan kanan wajahnya kelihatan berbeza.
    Bagi mengembalikan keyakinan dirinya, wanita itu bersetuju untuk menjalani pembedahan bagi merubah wajah sebelah kanannya supaya menyerupai bahagian wajah sebelah kiri.
    Bagi mengembalikan keyakinan dirinya, wanita itu bersetuju untuk menjalani pembedahan bagi merubah wajah sebelah kanannya supaya menyerupai bahagian wajah sebelah kiri.

    Mimpi ngeri

    Berkongsi rasa, Danisová yang kini merupakan seorang peguam berkata, penyakit itu adalah mimpi ngeri baginya.

    “Semasa diberitahu tentang penyakit ini, saya berasa ia merupakan satu hukuman dan sering bertanya mengapakah diri ini yang dipilih untuk diuji begini.

    “Selain mengalami kecacatan pada wajah, telinga kanan saya juga tidak mampu untuk mendengar dan juga tidak boleh melakukan aktiviti sukan dengan aktif,” kata wanita kelahiran Bratislava, Slovakia itu.

    Tambahnya, sindrom Goldenhar juga menjadikan sistem imunisasinya lemah dan Danisová sering dijangkiti penyakit.

    Zaman kanak-kanak Danisová cukup perit kerana dia sering diberitahu tentang kecacatannya.

    “Kanak-kanak lain enggan berkawan dengan saya kerana menganggap saya berbeza daripada mereka.

    “Masyarakat Slovakia menganggap keadaan saya ini sebagai satu petanda buruk dan membawa nasib malang,” luahnya.

    Begitu pun, Danisová bersyukur dikelilingi ahli keluarga yang cukup menyayanginya dan sentiasa memberikan kata-kata positif.

    Terpaksa dibedah

    “Dua orang kakak kembar saya, Monika dan Janka adalah segala-galanya buat saya.

    “Mereka sentiasa menyokong dan tidak akan sesekali membenarkan orang ramai mencemuh serta mengejek saya,” ujarnya.

    Bagi mengembalikan keyakinan dirinya, wanita itu bersetuju untuk menjalani pembedahan bagi merubah wajah sebelah kanannya supaya menyerupai bahagian wajah sebelah kiri.

    Danisová dihubungi oleh salah seorang pakar pembedahan wajah yang terkenal di Amerika Syarikat, Prof. Russel Reid daripada Universiti Perubatan Chicago. Baru-baru ini, Danisová selesai menjalani pembedahan untuk menstruktur semula wajahnya dan ia memakan masa selama 20 jam.

    Kini, wanita itu teruja untuk pembedahan susulan yang dijadualkan pada September depan bagi menjadikan wajahnya kelihatan normal, sama seperti wanita lain.

    “Impian terbesar saya adalah untuk melihat dunia sebagai seorang wanita normal, seolah-olah saya tidak pernah dibedah,” ujarnya seperti dipetik portal Mail Online.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda