‘Wajar teruskan kewajipan berjaga-jaga’

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 APRIL – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah mengingatkan penduduk dan rakyat di negara ini untuk meneruskan kewajipan berjaga-jaga sempena bulan suci Ramadan ini.

“Ini disebabkan tiada siapa yang dapat meramalkan bilakah wabak koronavirus akan berakhir dan dunia bebas daripadanya,” titah Baginda Sultan sempena menyambut bulan Ramadan tahun 1442 Hijrah/2021 Masihi.

Umat Islam, titah Baginda, wajar bersyukur kerana dapat menyambut kedatangan Ramadan iaitu bulan yang penuh berkat, yang di dalamnya diturunkan Al-Quran dan terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan.

“Pada tahun sudah, kita berpuasa dalam suasana berbeza, kerana penularan wabak koronavirus yang sehingga kini masih melanda dunia.

“Di negara kita, Alhamdulillah keadaan menunjukkan perkembangan yang baik di mana wabak yang menakutkan ini, dengan izin Allah, telah dapat dikawal.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ketika berkenan mengurniakan titah sempena bulan Ramadan tahun 1442 Hijrah.

“Ini semua sudah tentu akan menjadi berita gembira kepada umat Islam di negara ini khasnya untuk melakukan ibadat puasa dalam suasana lebih selesa.

“Ini juga tidak syak lagi adalah merupakan rahmat kepada Brunei yang wajib disyukuri.

Cara bersyukur itu tidak lain ialah dengan melakukan ketaatan dan ibadat kepada Allah jua, di mana pada saat ini ibadat yang sangat dituntut ialah menunaikan puasa sepanjang bulan Ramadan,” titah Baginda.

Baginda turut berharap agar seluruh umat Islam di negara ini akan dapat menjalankan ibadat puasa tanpa halangan atau gangguan, di samping juga ibadat-ibadat fardu yang lain, bahkan dapat menggandakan ibadat-ibadat sunat seperti membaca Al-Quran, bersedekah dan sebagainya, yang semua itu menjanjikan pahala dan keberkatan.

“Inilah cara kita orang-orang Brunei dalam menagih berkat dan rahmat. Sayugia cara ini jangan ia diubah-ubah,” tekan Baginda Sultan.

Dalam titah, Baginda mengingatkan, kebiasaan baharu wajar diteruskan demi keselamatan dan kesihatan. Ini kerana, tegas Baginda, kesihatan sangat penting, khasnya bagi tujuan menjalani ibadat puasa dengan keazaman untuk berpuasa genap sebulan.

“Insya-Allah. Niat kita yang baik ini akan diperturut oleh Allah SWT.

“Bagaimanapun, sebagai mengambil kira situasi yang ada, semua kegiatan harian kita masih saja perlu untuk mematuhi SOP yang telah ditentukan. Jangan diabaikan langkah berjaga-jaga selama mana keadaan memerlukan.

“Semua kegiatan harian kita mustahak dengan berhemah iaitu ketika berkumpul, beriadah, membeli-belah di tempat-tempat awam seperti pasar dan lain-lain. Jika peraturan untuk mematuhi SOP masih berjalan, maka hendaklah ia diikut.

Situasi pada masa ini, pada hemat Baginda Sultan, tidak akan menghalang umat Islam untuk hadir ke tempat-tempat ibadat seperti biasa, berbeza daripada situasi pada tahun lalu apabila kehadiran di masjid, surau dan balai ibadat terpaksa ditangguhkan.

“Tidak ada sebab situasi negara pada masa ini akan mengganggu ibadat kita. Kalau pada tahun lepas, untuk beberapa ketika, kita memang terpaksa menangguhkan kehadiran ke masjid, surau dan balai ibadat untuk sembahyang Fardu Jumaat dan sembahyang-sembahyang fardu yang lain secara berjemaah serta juga sembahyang Sunat Tarawih.

“Tetapi pada tahun ini, Alhamdulillah, situasi nampaknya tidak akan menghalang kita untuk hadir ke tempat-tempat ibadat seperti biasa, kecualilah berlaku perkara-perkara di luar dugaan.

“Selepas menyempurnakan puasa, kita akan memasuki pula gerbang Hari Raya. Semoga Allah akan mengurniakan kepada kita kesihatan untuk dapat merayakannya dalam keadaan aman dan selamat.

“Sebelum itu, persediaan eloklah disederhanakan sahaja, sesuai dengan keadaan dan faktor ekonomi masa kini. Berjimat dalam berbelanja adalah bererti menolong diri kita sendiri,” nasihat Baginda pada penghujung titah.