Wajarkah kekurangan bekalan jadi alasan?

Semenjak penularan wabak COVID-19 di negara kita, banyak barangan dari luar negara tidak dapat dibawa masuk ke dalam negara.

Sehinggakan ia menjejaskan bekalan barangan bagi pembekal dan kedai-kedai di seluruh negara.

Namun wajarkah disebabkan kekurangan bekalan menjadi alasan untuk menaikkan harga dengan sesuka hati? Bagi saya setentunya ia sesuatu yang tidak wajar kerana ia diibaratkan ‘sambil menyelam minum air’, di mana pembekal atau peniaga mengambil kesempatan ketika bekalan barang keperluan semakin berkurangan.

Setahu saya barang jualan ini memiliki kawalan harga tertentu yang ditetapkan dan pembekal atau penjual yang didapati menaikkan harga secara sesuka hati akan dikenakan denda. Namun adakah pihak relevan memantau perkara ini?

Mungkin ada sesetengah kedai yang masih mengikut arahan dan selebihnya ada yang mula menunjukkan belang mereka secara sewenang-wenangnya menaikkan harga. Ini kerana saya sendiri berdepan dengan kenaikan mendadak ini, apabila baru saja membeli dengan harga $2 dan tiga hari selepas itu, membeli barangan sama dengan harga $4. Bukan berkira dalam membeli barangan keadaan ini harus berterusan, peniaga melakukan kenaikan sewenang-wenangnya, bukan sedikit malah sampai begitu sekali harganya.

Ia bukan sahaja sudah menjadi satu kesalahan malahan menyusahkan pengguna. Cukuplah kami sebagai pengguna mengalami kesukaran mencari barangan keperluan yang boleh dikatakan langka atau ‘menjadi rebutan’ ketika ini. Janganlah keadaan COVID-19 menjadi alasan mengambil kesempatan dalam kesempitan.

Rintihan Pengguna