Wajib berniat ketika berzakat

(Dengan nama Allah, segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Jumhur ulama bersepakat bahawa niat merupakan salah satu syarat sah perlaksanaan zakat sebagaimana dengan ibadah-ibadah yang lain seperti sembahyang, puasa dan sebagainya.

Ini adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Saidina ‘Umar Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:

“Sesungguhnya amal perbuatan itu adalah dengan niat dan bahawasanya bagi setiap orang itu hanyalah menurut apa yang diniatkannya.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Letak dan lafaz niat zakat

Letak niat adalah di dalam hati sementara melafazkannya pula adalah sunat kerana dapat membantu apa yang diniatkan dalam hati. Oleh yang demikian, niat zakat wajib dilakukan di dalam hati oleh orang yang hendak mengeluarkan zakat dan tidak memadai hanya dilafazkan dengan lisan semata-mata.

Ketika seseorang itu mengeluarkan zakatnya, bolehlah dia berniat seperti berikut: “Ini fardu (kefarduan) zakat hartaku”, “Ini fardu (kefarduan) sedekah hartaku” atau “Ini sedekah wajib hartaku”.

Juga dianggap memadai jika orang yang berzakat itu berniat: “Ini zakat hartaku” tanpa menyebutkan perkataan ‘fardu’.

Ini kerana umumnya sudah diketahui bahawa zakat merupakan perkara yang wajib dilaksanakan apabila telah mencukupi syarat-syaratnya. Namun adalah afdhal menyebutkan lafaz ‘fardu’ bersama dengan lafaz ‘zakat’.

Perkara ini berbeza jika dia menyebut ‘zakat’ dengan perkataan ‘sedekah’. Sebagai contoh: “Ini sedekah hartaku.”

Dalam hal ini, jika dia menyebut lafaz ‘sedekah’ hendaklah dia menyebut lafaz ‘fardu’ bagi membezakan antara sedekah wajib (zakat) dengan sedekah sunat.

Begitu juga tidak memadai niat zakatnya jika dia berniat: “Ini fardu hartaku.” Ini kerana jika niatnya sedemikian maka ia boleh juga membawa maksud kepada membayar kaffarah atau nazar atau lain-lain.

Bilakah niat zakat dilakukan?

Secara umumnya, niat dilakukan sebelum melaksanakan sesuatu ibadah, umpamanya berniat berpuasa atau seiring dengan perbuatan memulakan ibadah, umpamanya berniat sembahyang.

Dalam ibadat zakat, niat harus dilakukan pada keadaan-keadaan berikut:

1) Jika orang yang hendak mengeluarkan zakat itu menyerahkan sendiri wang zakatnya kepada asnaf-asnaf yang berhak, maka dalam keadaan ini dia harus berniat mengeluarkan zakat sama ada ketika mengasing-asingkan wang zakat daripada hartanya atau ketika dia mengagihkan kepada asnaf zakat.

2) Jika dia menyerahkan wang zakat kepada wakil atau kepada pemerintah atau pegawai-pegawai yang dilantik sebagai wakil pemerintah untuk mengurus wang zakat, maka dia harus berniat mengeluarkan zakat sama ada:

I) Ketika mengasing-asingkan wang zakat daripada hartanya.

II) Atau ketika menyerahkan wang zakat kepada wakil atau kepada pemerintah atau pegawai-pegawai yang dilantik sebagai wakil pemerintah untuk mengurus wang zakat.

III) Atau sesudah menyerahkan wang zakat kepada wakil atau kepada pemerintah atau pegawai-pegawai yang dilantik, tetapi jangan sampai melewati masa penyerahan wang zakat kepada asnaf-asnaf yang berhak.

Adakah diperlukan wakil untuk orang yang berzakat atau pemerintah berniat zakat?

Pertama: Wakil orang yang mengeluarkan zakat

Orang yang berzakat harus mewakilkan penyerahan wang zakat kepada seseorang sama ada untuk diserahkan kepada asnaf-asnaf yang berhak atau kepada pemerintah atau pegawai-pegawai yang dilantik sebagai wakil pemerintah.

Dalam hal ini, wakil tidak perlu untuk berniat melakukan zakat bagi pihak orang berzakat ketika mengagih-agihkan wang zakat kepada asnaf atau ketika menyerahkan wang zakat kepada pemerintah atau pegawai-pegawai yang dilantik Ini kerana orang yang berzakat sudahpun melakukan niat seiring dengan perbuatan mengeluarkan wang zakat dari harta atau ketika menyerahkan wang zakat kepada wakil. Walau bagaimanapun afdhal jika dia turut berniat melakukan zakat sebagai wakil ketika menyerahkan wang zakat.

Tidak sah niat zakat yang dilakukan oleh wakil jika orang yang mengeluarkan zakat tidak berniat berzakat melainkan jika orang yang berzakat menyerahkan niat berzakat kepada wakilnya dengan mengatakan: “Aku mewakilkan engkau untuk pembayaran zakatku dan aku wakilkan engkau untuk berniat.”

Namun dalam penyerahan niat zakat kepada wakil hendaklah wakil itu seorang yang berkelayakan untuk berniat zakat iaitu hendaklah Islam, merdeka dan mukalaf.

Kedua: Pemerintah atau pegawai yang dilantik pemerintah untuk menguruskan hal ehwal zakat

Orang yang berzakat atau wakilnya harus menyerahkan sendiri harta zakat kepada asnaf-asnaf yang berhak. Namun adalah afdhal menyerahkannya kepada pemerintah atau pegawai-pegawai yang dilantik sebagai wakil pemerintah untuk mengurus wang zakat.

Ini kerana mereka lebih mengetahui tentang asnaf-asnaf yang berhak dan mempunyai kuasa untuk mengagih-agihkan zakat kepada mereka. Begitu juga pemilik harta tentunya terlepas dari tanggungan kewajipan zakat dengan penyerahan wang zakat kepada pemerintah atau pegawai-pegawai yang dilantik.

Dalam hal ini, pemerintah atau pegawai yang dilantik tidak perlu berniat ketika menyerahkan wang zakat kepada asnaf-asnaf yang berhak.

Ini kerana orang yang berzakat sudah melakukan niat seiring dengan perbuatan mengeluarkan wang zakat dari harta atau ketika menyerahkan wang zakat kepada wakil atau kepada pemerintah atau pegawai yang dilantik.

Selain itu juga, pemerintah atau pegawai yang dilantik merupakan wakil bagi asnaf-asnaf yang berhak, maka menyerahkan wang zakat kepada mereka adalah seperti menyerahkan zakat kepada asnaf-asnaf yang berhak. Oleh yang demikian, jika wang zakat rosak atau hilang di tangan pemerintah, maka orang yang mengeluarkan zakat tidak dikenakan apa-apa lagi.

Walau bagaimanapun dalam hal ini, adalah afdhal bagi pemerintah atau pegawai yang dilantik memasang niat zakat walaupun orang yang berzakat sudah berniat sebelumnya.

Tidak sah zakat jika orang yang berzakat tidak berniat ketika pemerintah atau pegawai yang dilantik mengagihkan zakat kepada asnaf yang berhak walaupun keduanya (pemerintah atau pegawai yang dilantik) berniat ketika pengagihan itu.

Berbeza halnya pula jika seseorang itu tidak mahu mengeluarkan zakat apabila hartanya sudah mencapai nisab dan haul. Dalam keadaan ini, pemerintah boleh mengambil wang zakat daripadanya secara paksa. Jika pemilik harta tersebut berniat mengeluarkan zakat ketika diambil wang zakat daripadanya, maka dianggap dia menunaikan zakat. Namun jika pemilik tidak berniat zakat, maka pemerintah atau pegawai yang dilantik wajib berniat bagi menggantikan niat pemilik wang zakat itu.

Siapakah yang berniat zakat ketika mengeluarkan wang zakat bagi harta kanak-kanak?

Wali atau penjaga kanak-kanak bertanggungjawab dalam menguruskan hal ehwal kanak-kanak termasuk menguruskan harta kanak-kanak jika ada.

Apabila harta kanak-kanak tersebut mencapai nisab dan haul, maka menjadi kewajipan kepada wali atau penjaganya mengeluarkan sejumlah wang zakat daripada harta tersebut. Begitu juga bagi wali atau penjaga yang menguruskan harta orang gila atau orang bodoh.

Dalam hal ini, wali atau penjaga wajib berniat zakat bagi harta mereka sama ada ketika mengasing-asingkan wang zakat daripada harta atau ketika menyerahkan kepada pemerintah atau pegawai yang dilantik iaitu sebelum pengagihan kepada asnaf-asnaf yang berhak.

Jika wali atau penjaga tidak berniat zakat ketika menyerahkan wang zakat kepada asnaf atau kepada pemerintah atau pegawai yang dilantik dan wang tersebut sudahpun diagihkan kepada asnaf, maka wali atau penjaga wajib menggantikan wang zakat tersebut dengan wang mereka disebabkan kelalaian mereka untuk berniat ketika mengeluarkan zakat daripada harta tersebut.

Kesimpulannya, niat merupakan salah satu syarat wajib zakat. Ianya wajib dilakukan di dalam hati dan sunat dilafazkan dengan lidah oleh orang yang berzakat sama ada ketika mengasing-asingkan wang zakat daripada hartanya atau ketika menyerahkan wang zakat kepada wakil atau kepada pemerintah atau pegawai yang dilantik sebelum pengagihannya kepada asnaf-asnaf yang berhak.

Wakil bagi orang yang berzakat dan pemerintah atau pegawai yang dilantik pula tidak disyaratkan untuk berniat ketika mengagihkan zakat, namun afdhal jika mereka berniat walaupun orang yang berzakat telah melakukan demikian.