Wajib pakai peranti pengesanan mulai 11 Mac

PUTRAJAYA, 3 MAC – Perintah pemakaian peranti pengesanan merupakan antara lima peruntukan baharu dalam Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit) (Pindaan) 2021 yang akan berkuat kuasa pada 11 Mac ini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata pemakaian peranti berteknologi tinggi berbentuk gelang itu yang bertujuan untuk mengawal pergerakan adalah diwajibkan bagi tiga kategori iaitu individu yang positif COVID-19; individu dalam siasatan (PUI) atau kontak rapat pesakit COVID-19; dan individu dalam pengawasan (PUS).

“Tempoh pemakaian peranti itu adalah dalam masa 10 hari,” katanya dalam sidang media bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Kementerian Kesihatan (KKM) di sini, hari ini.

Dr Adham berkata penalti akan dikenakan sekiranya peranti pengesanan tersebut dimusnahkan, dirosakkan, dihilangkan atau diubah.

Selain itu, katanya peruntukan baharu yang dimasukkan dalam ordinan berkenaan ialah Seksyen 21A bagi membolehkan Ketua Pengarah Kesihatan mengeluarkan arahan secara am atau khusus kepada mana-mana individu untuk mengambil langkah bagi mencegah dan mengawal penyakit berjangkit.

Peruntukan baharu yang lain ialah Bahagian IV A mengenai penguatkuasaan yang memberi kuasa menjalankan siasatan dan memberi maklumat berhubung pencegahan dan pengawalan penyakit berjangkit, katanya.

Peruntukan baharu iaitu Seksyen 22A dalam ordinan pula membolehkan pertuduhan dibuat terhadap pertubuhan perbadanan yang melakukan kesalahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), katanya.

Peruntukan baharu iaitu Seksyen 31 pula adalah sebagai punca kuasa untuk mengenakan penalti di bawah Akta 342 bagi mana-mana kesalahan yang tidak dinyatakan di dalamnya.

Ia menetapkan sebarang perbuatan melanggar peraturan adalah suatu kesalahan dan boleh dikenakan penalti tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali, katanya. – Bernama

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba ketika sidang media bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Kementerian Kesihatan, kelmarin. – Bernama