Wakil masyarakat Tionghua ucapkan takziah

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JUN – Rakan-rakan di Negara Brunei Darussalam tidak ketinggalan untuk menyampaikan ucapan takziah dan bersama-sama pegawai serta kakitangan Kedutaan Amerika Syarikat di Negara Brunei Darussalam turut bersedih dengan pemergian mendiang Duta Besar Amerika Syarikat ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Matthew J Matthews pada 20 Mei lalu.

Sehubungan dengan itu, rakan-rakan termasuk wakil daripada masyarakat dan persatuan setempat menzahirkan ucapan takziah mereka dengan menandatangani buku takziah bagi mendiang Duta Besar Amerika Syarikat ke Negara Brunei Darussalam di Kedutaan Amerika Syarikat, hari ini.

Pada majlis itu, Yang Dimuliakan Pehin Kapitan Lela Diraja Dato Paduka Goh King Chin mewakili masyarakat Tionghua Negara Brunei Darussalam menandatangani buku takziah bagi pemergian mendiang TYT Matthews.

Turut hadir dan sama-sama menandatangani buku takziah berkenaan ialah Presiden Dewan Perniagaan Tionghua Bandar Seri Begawan, Malcolm Lim Tiong Han.

Penandatanganan buku takziah bagi mendiang Duta Besar Amerika Syarikat telah dibukakan bagi rakan-rakan yang ingin untuk memberikan penghormatan mereka kepada mendiang di Kedutaan Amerika Syarikat di Negara Brunei Darussalam.

Yang Dimuliakan Pehin Kapitan Lela Diraja Dato Paduka Goh King Chin menandatangani buku takziah bagi mendiang TYT Matthews di Kedutaan Amerika Syarikat di Negara Brunei Darussalam.