Wakil Negara sasar persembahan terbaik

Oleh Fadhil Yunus

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 FEB – Pemain petanque Negara Brunei Darussalam menyasarkan persembahan terbaik menentang pesaing antarabangsa di Kejohanan Petanque Terbuka Johor 2020 yang akan berlangsung di Arena Petanque, Majlis Bandar raya Johor Bahru (MBJB), di Taman Tampoi Utama, Johor Bahru dari 28 hingga 29 Mac.

Bersempena penyertaan pemain Brunei tersebut, telah diadakan satu upacara penyerahan baju rasmi pemain bertempat di Gelanggang Petanque Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah hari ini.

Turut hadir di majlis tersebut Presiden Persatuan Petanque Brunei Darussalam (BDPF), Haji Mohamad bin Panglima Asgar Dato Paduka Haji Abdullah.

Kontinjen negara yang diketuai oleh Hajah Norhaini binti Haji Dollah selaku pengurus dan tujuh pemain akan berlepas ke Johor Bahru nanti terdiri daripada Mazlan bin Haji Yahya, Wirna bin Haji Mohd Yassin, Mohd Amir bin Haji Sapar, Masli bin Haji Mohd Said, Haji Mohd Sahmedeyn bin Haji Kahar, Haji Nawawi bin Haji Nauhi dan Afiq bin Abdul Aziz.

Kejohanan Petanque Terbuka Johor akan disertai oleh sebahagian peserta dari luar negara dan majoritinya dari Semenanjung Malaysia, dan ini merupakan penyertaan Brunei di peringkat antarabangsa buat kali pertama pada tahun ini.

Pengurus pasukan turut berharap untuk mencapai kejayaan, menambah baik kualiti dan persembahan di kejohanan itu nanti.

Sementara itu, pemain petanque negara turut ber-azam untuk memberikan yang terbaik untuk negara.

Pemain negara akan berdepan dengan pesaing sengit terutama menentang pemain yang pernah mengambil bahagian dalam persiapan Malaysia untuk kejohanan Sukan SEA (SEA) atau yang menyertai skim negara.

Kejohanan ini diadakan sempena Tahun Melawat Johor 2020, yang bakal mempertandingkan dua kategori iaitu beregu lelaki dan wanita.

Pemain petanque negara bergambar ramai semasa majlis penyerahan baju rasmi.