Wakil Palestin ikrar tidak akan berdiam diri

WASHINGTON, 11 Okt – Perwakilan Palestin semalam berikrar tidak akan berdiam diri apabila mereka menutup misi mereka di Washington atas arahan Presiden Donald Trump.

“Ini adalah percubaan untuk menutup suara anda, ini adalah tindakan penapisan,” kata Hakam Takash, diplomat di pejabat Pertubuhan Pembebasan Palestin di Washington yang telah ditubuhkan pada tahun 1994 selepas perjanjian damai Oslo.

“Ini adalah permulaan baharu, bukan saja dalam hubungan Palestin-Amerika tetapi dalam usaha komuniti ini,” beritahu beliau dalam satu majlis ketika pejabat itu secara simbolik menurunkan plak di bangunan Washington.

“Anda semua akan meninggalkan tempat ini sebagai duta hari ini dan anda akan membawa mesej ini dan menunjukkan kepada dunia bahawa suara Palestin tidak akan didiamkan.”

Pentadbiran Trump pada September lalu mengumumkan ia akan menutup misi tersebut, dengan menuduh Palestin enggan mengadakan rundingan damai bersama Israel. Langkah itu dibuat ketika Amerika Syarikat (AS) di bawah Trump bersekutu lebih rapat lagi dengan Israel, termasuklah mengambil langkah bersejarah memindahkan kedutaan AS dari Tel Aviv ke Baitulmuqaddis, bandar suci yang juga dihasratkan oleh Palestin menjadi ibu negaranya.

Misi PLO secara rasmi ditutup pada 13 September, hari terakhir duta Hossam Zomlot, tetapi para pekerja mempunyai sebulan lagi untuk menyelesaikan tugas mereka.

“Adalah dikesali, pentadbiran AS pada masa ini memperlihatkan satu demi satu tindakan dan dasar yang berseteru bahawa ia lebih suka mengikut rasa hati daripada bekerjasama, memaksa daripada berunding,” kementerian luar Palestin berkata dalam satu kenyataan yang dibacakan pada majlis itu, dengan mengulangi pendiriannya bahawa Washington tidak dapat meneruskan peranannya menerajui proses damai sehingga ia mengalihkan dasar.

Di bawah pentadbiran Trump, AS juga menamatkan semua bantuan kepada agensi PBB yang menyokong pelarian Palestin, yang mencetuskan krisis pembiayaan bagi sekolah dan perkhidmatan lain yang memberi manfaat kepada lima juta orang.

James Zogby, penyokong lama Palestin sebagai presiden Institut Arab Amerika, menyelar tindakan AS itu.

“Apa yang hendak kami katakan di sini ialah agak ringkas – anda boleh menutup pejabat, dan anda boleh mendiamkan, tetapi rakyat Palestin tidak akan pergi,” ujarnya lagi.

“Mereka tidak akan berganjak. Mereka akan terus berada di tanah mereka, terus di kem mereka menanti untuk kembali dan kami di sini sebagai komuniti masih menjadi suara mereka, suara rakyat Palestin.” – AFP