Wakil UNISSA ungguli kedudukan tiga terbaik pertandingan PABM

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 DIS – Seorang mahasiswa Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah mengharumkan nama negara apabila berjaya mengungguli kedudukan tiga terbaik dalam Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2021 peringkat akhir bagi kategori alam Melayu, baru-baru ini.

Awang Mohd Iqbaal Syakib bin Haji Suhib merupakan mahasiswa tahun akhir Fakulti Syariah dan Undang-undang, UNISSA daripada program dwi-ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (LLB) dan Sarjana Muda Perundangan Syariah.

Malam kemuncak PABM 2021 telah berlangsung di Dewan Sultan Iskandar, Universiti Teknologi Mara (UTM), Johor, Malaysia, dan telah disiarkan secara langsung menerusi rangkaian TV1 RTM selain akaun Youtube dan Facebook rasmi PABM.

Hadir merasmikan dan sekali gus menyempurnakan penyampaian hadiah pertandingan yang terbahagi kepada tiga kategori iaitu kategori antarabangsa, pelajar antarabangsa di Malaysia, dan alam Melayu berkenaan ialah Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob,

Pada tahun ini, UNISSA umpama sirih pulang ke gagang apabila Awang Mohd Iqbaal berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir PABM 2021 setelah sekian lama tiada kelibat peserta dari Brunei beraksi di pentas akhir sejak 2013.

Untuk edisi 2021, Awang Mohd Iqbaal berjaya membawa nama negara dan UNISSA sekali lagi ke pentas akhir dengan menyampaikan pidato bertajuk ‘Nilai Manusiawi dan Pendidikan Berpisah Tiada’.

Beliau berentap dalam kategori alam Melayu dan memenangi hadiah RM10,000, manakala dua orang peserta tuan rumah, Malaysia masing-masing dinobatkan sebagai juara dan pemenang kedua, memenangi hadiah wang tunai RM8,000 dan RM5,000.

Awang Mohd Iqbaal ketika menerima hadiah pertandingan PABM Piala Perdana Menteri 2021 bagi kategori alam Melayu. – Gambar serahan UNISSA