Waktu operasi BIBD dalam Fasa Peralihan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 NOV – Bagi mengalu-alukan dan menyokong penuh usaha kerajaan dalam Fasa Peralihan COVID-19, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) telah menyemak semula waktu cawangannya sejajar dengan langkah-langkah kawalan COVID-19.

BIBD dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, menjelaskan bahawa berkuat kuasa pada 15 hingga 20 November, hanya pengunjung yang telah melengkapkan vaksinasi dibenarkan memasuki cawangan BIBD untuk menjalankan keperluan perbankan.

Dalam pada itu, BIBD juga memberi jaminan kepada pelanggan bahawa semua kakitangan bertugas di cawangan telah menerima vaksinasi lengkap dan akan dilengkapi dengan alat perlindungan semasa melayani pengunjung.

Waktu operasi cawangan dalam tempoh berkenaan adalah dari 7:30 pagi hingga 3 petang pada Isnin, dari 9 pagi hingga 3 petang pada Selasa hingga Khamis, 7:30 pagi hingga 11:30 pagi pada Jumaat dan 9 pagi hingga 12 tengah hari pada Sabtu, manakala itu, semua cawangan akan ditutup pada Ahad.

Perkhidmatan pembiayaan, perkhidmatan Perbankan Privilege PERDANA, perkhidmatan Perbankan Korporat, BIBD Ar-Rahnu serta perkhidmatan BIBD Securities akan disediakan sepanjang minggu dengan temu janji sahaja.

Sementara itu, terminal layan diri seperti ATM dan Mesin Deposit Tunai (CDM) kekal tersedia di cawangan elektronik BIBD di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, Sengkurong, Gadong NEXGEN dan UBD Core NEXGEN.

Mesin Deposit Cek (CQM) juga boleh didapati di semua e-cawangan kecuali Sengkurong dan Gadong NEXGEN.

Cawangan Muara masih ditutup dan sebarang maklumat lanjut akan dimaklumkan sewajarnya melalui saluran rasmi BIBD.