Waktu operasi BIBD untuk minggu ini

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 SEPT – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) telah mengumumkan waktu operasi cawangannya yang telah disemak semula selaras dengan langkah-langkah kawalan COVID-19 negara ini.

Bermula esok (13 September) hingga 17 September, waktu operasi cawangan-cawangannya adalah dari 9 pagi hingga 3 petang bagi Isnin hingga Khamis dan 9 pagi hingga 12 tengah hari pada Jumaat serta ditutup pada Sabtu dan Ahad.

Cawangan-cawangan yang akan beroperasi dalam tempoh tersebut adalah ibu pejabat, cawangan Kiulap, Serusop, Tanjung Bunut, Tutong, Temburong dan Kuala Belait.

Semua perkhidmatan juruwang (pengeluaran, deposit dan kiriman wang) akan tersedia di cawangan yang beroperasi kecuali di cawangan Kuala Belait di mana hanya perkhidmatan pengeluaran tunai yang akan tersedia.

Perkhidmatan pembiayaan, PERDANA Privilege Banking, Perbankan Korporat, BIBD Ar-Rahnu dan Sekuriti BIBD akan tersedia di cawangan terpilih sepanjang minggu ini melalui janji temu sahaja.

Sementara itu, terminal layan diri seperti ATM dan mesin deposit tunai (CDM) tetap tersedia di kesemua e-cawangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, Sengkurong, Gadong NEXGEN dan UBD Core NEXGEN. Mesin deposit cek (CQM) juga terdapat di semua e-cawangan kecuali e-cawangan Sengkurong dan Gadong NEXGEN.

Sementara itu, cawangan Seri, Muara, Manggis, Rimba, Panaga dan Seria tetap ditutup. Sebarang kemas kini akan disampaikan melalui saluran rasmi BIBD.