Waktu operasi Jambatan Temburong dilanjutkan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 MEI – Pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah memaklumkan bahawa masa untuk menggunakan Jambatan Penghubung Daerah Brunei dan Muara dan Daerah Temburong dilanjutkan dari pukul 6 pagi hingga 10 malam setiap hari bermula 24 Mei.

Lanjutan itu dibuat dengan mengambil kira keadaan penularan COVID-19 yang terkawal serta mengikut nasihat Kementerian Kesihatan, jelas Yang Berhormat Dato semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan pada 23 Mei lalu.

Yang Berhormat Dato seterusnya menyatakan bahawa pada masa ini, pemasangan CCTV telah mula beroperasi di sepanjang jambatan berkenaan bagi memantau keadaan di sekitar secara berterusan selama 24 jam sehari.

“Dengan itu, Jawatankuasa Pengurusan Jambatan Temburong ingin mengingatkan orang ramai untuk mematuhi peraturan yang telah ditetapkan antaranya seperti berikut, orang ramai tidak dibenarkan berhenti di atas Jambatan atas sebab yang tidak munasabah seperti membuang sampah.

“Orang ramai dinasihatkan bagi sama-sama menjalankan tanggungjawab sosial dengan memandu secara berhemah dan cermat semasa menggunakan jambatan tersebut serta mematuhi peraturan-peraturan di bawah Akta Lalu Lintas Jalan Raya (Penggal 68) demi untuk sama-sama menjalankan tanggungjawab menjaga keselamatan dan kesejahteraan orang ramai dan pengguna jalan raya yang lain dan pengguna boleh menghubungi pusat operasi melalui talian Darussalam 123 buat sementara ini jika ada kecemasan.”

Beliau menekankan bahawa pihak berkuasa termasuk Pasukan Polis Diraja Brunei dan Jawatankuasa Pengurusan Jambatan Temburong sentiasa membuat rondaan dan jika didapati pengguna yang melanggar peraturan yang telah ditetapkan, tindakan undang-undang akan diambil.

Sehubungan itu, beliau menyatakan bahawa kerjasama orang ramai adalah diharapkan demi menjaga keselamatan dan kesejahteraan pengguna jalan raya semasa menggunakan Jambatan ini.

Bagi orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan, mereka boleh menghubungi talian Darussalam 123 atau Pejabat Pengurusan Jambatan melalui e-mel, [email protected]