Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 MEI – Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) memaklumkan bahawa Kaunter Perkhidmatan Pelanggan Biro Kredit yang menyediakan perkhidmatan laporan kredit telah dibuka semula bermula 18 Mei lalu.
AMBD dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, menyatakan lagi bahawa dalam memastikan kesihatan dan keselamatan pelanggan yang berkunjung serta pegawai dan kakitangan yang bertugas, langkah-langkah kewaspadaan diambil berdasarkan kepada garis panduan yang berkaitan dengan COVID-19 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan termasuk memerlukan pelawat untuk menggunakan aplikasi BruHealth dan mengehadkan bilangan pelanggan di premis pada satu masa.
Waktu operasi bagi Kaunter Perkhidmatan Pelanggan Biro Kredit semasa bulan Ramadan ialah Isnin hingga Khamis dari pukul 8:30 pagi hingga 12 tengah hari dan Jumaat dari pukul 8 pagi hingga 10:30 pagi, manakala itu, selepas bulan Ramadan ialah Isnin hingga Khamis dari pukul 8 pagi hingga 11:30 pagi dan dari 1:45 petang hingga 3:30 petang serta Jumaat dari pukul 8:15 pagi hingga 10:30 pagi di AMBD, Bangunan Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Jalan Commonwealth Drive, Bandar Seri Begawan.
Bagi yang ingin mendapatkan maklumat lanjut, boleh menghubungi Biro Kredit melalui e-mel birokredit@ambd.gov.bn atau talian 2233369 semasa waktu bekerja.