Waktu operasi kaunter dikemaskini

Oleh Sim Y.H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 OGOS – Berikutan perkembangan situasi wabak COVID-19 di Negara Brunei Darussalam berada dalam keadaan terkawal dan mengambil kira juga pengurangan langkah-langkah penjarakan sosial mengikut pelan de-escalation Kementerian Kesihatan, Kementerian Kewangan dan Ekonomi memaklumkan bermula 1 September, waktu-waktu operasi bagi kaunter-kaunter perkhidmatan di Kementerian Kewangan dan Ekonomi serta jabatan-jabatan di dalamnya akan dikemaskinikan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan dan Ekonomi, di sini, hari ini, bagi Jabatan Perbendaharaan, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED), Bahagian Hasil, Bahagian Pendaftaran Syarikat dan Nama-nama Perniagaan (ROCBN) dan Bahagian Industri dan Ekosistem Perniagaan, ia akan beroperasi pada Isnin hingga Khamis dan Sabtu bermula pukul 8 pagi hingga 12 tengah hari serta dari pukul 1:30 petang hingga 3:30 petang.

Kenyataan turut menyatakan bahawa orang ramai yang ingin untuk berurusan di Kementerian Kewangan dan Ekonomi serta jabatan-jabatan di dalamnya adalah dikehendaki untuk mematuhi tatacara sebagaimana yang dinasihatkan oleh Kementerian Kesihatan di mana kemasukan ke dalam bangunan Kementerian Kewangan dan Ekonomi atau jabatan-jabatan di dalamnya hendaklah terlebih dahulu mengimbas kod QR di setiap pintu masuk kaunter menggunakan aplikasi BruHealth sebelum dan selepas berurusan.

Usaha itu adalah sebagai salah satu langkah dalam memastikan keselamatan dan kesihatan orang ramai yang berurusan serta para pegawai dan kakitangan Kementerian Kewangan dan Ekonomi dan jabatan-jabatan di dalamnya adalah dalam keadaan yang baik.