Waktu operasi perkhidmatan kesihatan sepanjang bulan Ramadan

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 APRIL – Kementerian Kesihatan melalui Jabatan Perkhidmatan Kesihatan dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini, telah memaklumkan mengenai waktu beroperasi bagi perkhidmatan kesihatan di pusat-pusat dan klinik-klinik kesihatan di bawah kawalannya sepanjang Ramadan.

Bagi Pusat Kesihatan Berakas, waktu beroperasi adalah setiap Isnin hingga Khamis dan Sabtu bermula 8 pagi hingga 2 petang khas untuk penduduk di bawah tadahan Pusat Kesihatan Berakas, Pusat Kesihatan Pengiran Anak Puteri Hajah Muta-Wakkillah Hayatul Bolkiah (PAPHMWHB) Gadong dan Pusat Kesihatan Muara serta bagi perkhidmatan-perkhidmatan rawatan gejala demam, batuk, selesema, masalah pernafasan dan sebagainya yang lazimnya mendapatkan perkhidmatan di Klinik Flu. Sementara itu, pada jam 7:30 malam hingga jam 10 malam pusat kesihatan berkenaan terbuka untuk semua bagi perkhidmatan Klinik Flu dan Umum. Setiap Jumaat dan Ahad serta hari-hari kelepasan awam pula, Pusat Kesihatan Berakas beroperasi pada pukul 2 petang hingga 4 petang dan 7:30 malam hingga 10 malam yang terbuka kepada semua bagi perkhidmatan Klinik Flu dan Umum. Pusat Kesihatan Pengkalan Batu pula hanya akan beroperasi setiap Isnin hingga Khamis dan Sabtu kecuali hari kelepasan awam bermula 8 pagi hingga 2 petang khusus untuk penduduk di bawah tadahan Pusat Kesihatan Pengkalan Batu; Pusat Kesihatan Jubli Perak, Sengkurong; Pusat Kesihatan Jubli Emas Bunut dan Pusat Kesihatan Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah (PAPHRSB), Sungai Asam bagi rawatan gejala demam, batuk, selesema, masalah pernafasan dan sebagainya yang lazimnya mendapatkan perkhidmatan di Klinik Flu.

Pusat Kesihatan (PAPHMWHB), Gadong juga akan beroperasi setiap Isnin hingga Khamis dan Sabtu kecuali pada hari kelepasan awam bermula 8 pagi hingga jam 2 petang khusus bagi  penduduk di bawah tadahan Pusat Kesihatan PAPHMWHB Gadong dan Pusat Kesihatan Berakas bagi Klinik Umum dan Klinik Penyakit Kronik. Pusat Kesihatan PAPHMWHB akan membukakan perkhidmatan bagi Klinik Umum, Klinik Penyakit Kronik dan Klinik Ibu dan Anak.

Sementara itu, Klinik Ibu dan Anak bagi penduduk di bawah tadahan Pusat Kesihatan Berakas ialah di Tingkat 5, Blok 2G, Kondominium Ong Sum Ping, Jalan Ong Sum Ping.

Pusat Kesihatan Jubli Perak Sengkurong pula beroperasi setiap Isnin hingga Khamis dan Sabtu kecuali hari kelepasan awam bermula 8 pagi hingga 2 petang khusus untuk penduduk di bawah tadahan Pusat Kesihatan Jubli Perak Sengkurong dan Pusat Kesihatan Pengkalan Batu bagi Klinik Ibu dan Anak sahaja. Pusat kesihatan berkenaan akan membukakan perkhidmatan Klinik Umum, Klinik Penyakit Kronik, Klinik Ibu dan Anak termasuklah tadahan Klinik Ibu dan Anak dari Pusat Kesihatan Pengkalan Batu.

Sementara itu, Pusat Kesihatan PAPHRSB akan beroperasi setiap Isnin hingga Khamis dan Sabtu kecuali hari kelepasan awam juga bermula jam 8 pagi hingga jam 2 petang khusus untuk penduduk di bawah tadahan Pusat Kesihatan PAPHRSB dan Pusat Kesihatan Pengkalan Batu bagi Klinik Umum dan Klinik Penyakit Kronik sahaja.

Pusat kesihatan berkenaan akan membukakan perkhidmatan Klinik Umum, Klinik Penyakit Kronik, Klinik Ibu dan Anak termasuklah bagi tadahan dari Pusat Kesihatan Pengkalan Batu.

Bagi pusat-pusat kesihatan dan klinik-klinik kesihatan yang lain di Daerah Brunei dan Muara pula akan beroperasi dari 8 pagi hingga 2 petang setiap Isnin hingga Khamis dan Sabtu kecuali hari kelepasan awam khusus bagi penduduk mengikut tadahan masing-masing dan akan membukakan perkhidmatan bagi Klinik Umum, Klinik Penyakit Kronik, Klinik Ibu dan Anak.