Waktu operasi perkhidmatan TAIB

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OGOS – Berikutan dengan situasi wabak COVID-19 waktu ini, Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) telah memaklumkan perubahan sementara waktu perniagaan bagi perkhidmatan perbankannya.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, TAIB menjelaskan bahawa cawangan utama di ibu negara, cawangan Airport Mall, Kiulap, Tanjung Bunut, Lambak, Kuala Belait, Tutong dan Temburong akan beroperasi dari 9 pagi hingga 2:30 petang pada Isnin hingga Khamis dan 9 pagi hingga 11:30 pagi pada Jumaat manakala itu ditutup pada Sabtu dan Ahad.

Sementara itu, cawangan Rimba pula akan dibuka dari 9:45 pagi hingga 3:15 petang pada Isnin hingga Khamis, 2:30 petang hingga 5 petang pada Jumaat dan ditutup setiap Sabtu dan Ahad.

Perubahan berkenaan telah bermula 16 Ogos lalu sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

Kenyataan menasihatkan pelanggan untuk mengunjungi cawangan apabila benar-benar perlu sahaja.

Sekiranya para pelanggan tidak dapat keluar rumah untuk membuat perkhidmatan perbankan, pengeluaran melalui pihak ketiga untuk pemegang akaun akan disediakan di cawangan TAIB mengikut syarat.

Kenyataan menjelaskan, semasa pandemik COVID-19, pengeluaran pihak ketiga ha-nya dibenarkan jika pemegang akaun yang merupakan warga emas dan dikelaskan sebagai individu berisiko tinggi dan pemegang akaun yang berada di bawah Perintah Kuarantin sama ada di rumah atau di pusat pengasingan.

Selain itu, bagi pemegang akaun yang merupakan pesakit yang ditempatkan di hospital dan dapat berkomunikasi dengan perkataan atau isyarat melalui panggilan video.

Pengeluaran dalam keadaan ini akan diuruskan oleh Perkhidmatan Am TAIB, tambah kenyataan itu.

Semua pengeluaran pihak ketiga bagi pihak pemegang Akaun di atas hendaklah disertakan dengan dokumen sokongan yang berkenaan dan dilengkapi dengan proses pengesahan keselamatan.

Senarai dokumen yang diperlukan dan proses pengesahan keselamatan dapat diakses di laman sesawang TAIB di www.taib.com.bn.

Berikutan dengan situasi COVID-19 masakini, TAIB menyarankan agar para pelanggan dapat menggunakan apli-kasi TAIB Mobile, perbankan dalam talian, Corporate Internet Banking serta ATM dan MFM bagi keperluan transaksi perbankan, atau menangguhkan keluar rumah dan hanya mengunjungi cawangan apabila keadaan lebih selamat untuk berbuat demikian.