Waktu operasi perniagaan Zon Satu dilanjutkan

KUCHING, 9 OGOS – Persekutuan Persatuan Cina Sarawak meminta kerajaan negeri melanjutkan waktu operasi perniagaan di Zon Satu yang sekarang dihadkan kepada 6 pagi hingga 10 malam berikutan kes baharu COVID-19 di zon berkenaan menunjukkan trend penurunan sejak kebelakangan ini.

Presidennya Datuk Richard Wee berkata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) boleh menimbang melanjutkan waktu operasi perniagaan hingga 12 tengah malam memandangkan kes baharu di Kuching, Samarahan dan Serian yang berada dalam Zon Satu mencatatkan penurunan. “Ini (lanjutan waktu operasi perniagaan) akan memberi manfaat kepada pelbagai jenis perniagaan, khususnya sektor penyediaan makanan dan minuman seperti restoran, bistro dan lain-lain. Kami harap me-reka (JPBN) akan menimbang perkara ini,” katanya hari ini.

Beliau yang ditemui pemberita selepas menyampaikan Kenyalang Gold Card iaitu program kad diskaun dan kemudahan khas bagi warga emas yang dilaksanakan kerajaan Sarawak, bagaimanapun berkata pihaknya akan akur jika JPBN berpandangan situasi semasa masih tidak mengizinkan lanjutan waktu operasi perniagaan.

JPBN menguatkuasakan had waktu perniagaan dari 1 hingga 14 Ogos ini susulan peningkatan kes COVID-19 di tiga bahagian terbabit pada penghujung bulan lepas, namun sejak seminggu lalu bilangan kes baharu di kawasan berkenaan menunjukkan penurunan dan semakin mendatar. – Bernama