Waktu operasi program vaksinasi walk in mungkin dilanjutkan

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 SEPT – Kementerian Kesihatan masih menilai sebarang perancangan untuk melanjutkan waktu operasi program vaksinasi minggu hadapan secara jumpa terus (walk in) yang diadakan di Pusat Vaksinasi Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar menjelaskan perkara tersebut semasa menjawab persoalan mengenai adakah perubahan atau prosedur bagi mereka yang walk in pada sidang media hari ini.

Dengan arahan baharu yang menekankan hanya mereka mempunyai BruHealth dibenarkan keluar setelah pukul enam petang dan seterusnya, Yang Berhormat Dato turut berharap mereka yang berkenaan mempunyai telefon bimbit masing-masing untuk membantu mereka menempah slot vaksinasi seperti yang lain.

Beliau juga menyatakan pihak kementerian akan bekerjasama dengan pasukan polis dalam usaha untuk memastikan mereka yang tidak mempunyai BruHealth hanya akan keluar untuk mendapatkan vaksinasi.

Selain itu, ketika ditanya mengenai cabaran masalah komunikasi dengan warga asing yang berada di pusat vaksinasi, Yang Berhormat Dato mengatakan pihak kementerian juga mendapatkan sokongan daripada sukarelawan yang datang membantu selain sebahagian kedutaan yang tampil ke hadapan untuk membantu dari segi penterjemahan.