Waktu operasi pusat swab dikemas kini

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 DIS – Waktu operasi bagi pusat-pusat swab atau calitan COVID-19 telah dikemaskinikan bermula hari ini.

Kementerian Kesihatan dalam siaran akhbar yang dikeluarkan di sini mengatakan, waktu operasi Pusat Swab di Kompleks Sukan Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (SPOC) adalah dari pukul 8 pagi hingga 10 malam pada hari biasa dan ditutup pada pukul 12 tengah hari sehingga 1 petang bagi kerja-kerja pembasmian kuman, manakala pada Jumaat, ia beroperasi pukul 8 pagi sehingga 12 tengah hari dan 2 petang sehingga 8 malam.

Pusat Swab Pandu Lalu BRIDEX, Jerudong pula akan dibuka Isnin hingga Khamis dan Sabtu bermula pukul 8 pagi hingga 7:15 malam manakala Jumaat bermula 2:15 petang sehingga 7:15 malam. Perkhidmatan ditutup pada Ahad dan hari-hari kelepasan awam.

Manakala itu, Pusat Swab di Pusat Kesihatan Berakas pula beroperasi setiap hari bermula pukul 7:45 pagi sehingga 12 tengah hari, 1:30 petang hingga 4:15 petang dan 6 petang hingga 8:45 malam setiap Isnin hingga Khamis dan Sabtu.

Pada Jumaat, Ahad dan hari-hari kelepasan awam pula dibuka pukul 2 petang sehingga 8:45 malam.

Pusat Kesihatan Pengakalan Batu pula dibuka dari pukul 7:45 pagi hingga 4:15 petang dengan waktu rehat dari 12 tengah hari hingga 1:30 petang, manakala Pusat Swab di SARI, Hospital Suri Seri Begawan, Belait dibuka setiap hari pada pukul 7:30 pagi hingga 6 petang.

Sementara itu, Pusat Swab di Pandu Lalu Pusat Insani, Seria akan beroperasi setiap Isnin hingga Khamis dan Sabtu, pukul 8 pagi hingga 6 petang. Namun ia ditutup pada hari Jumaat, Ahad dan hari-hari kelepasan awam.

Pusat Swab di Pusat Kesihatan Sungai Kelugos pula akan dibuka pada setiap Isnin hingga Khamis dan Sabtu, dari pukul 7:45 pagi hingga 11:45 pagi 1:30 petang hingga 4 petang.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghu-bungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau Talian Darussalam 123.