Waktu operasi stesen minyak di Labuan dipendekkan

LABUAN, 26  MAC – Waktu operasi bagi enam stesen minyak di pulau bebas cukai ini akan dipendekkan mulai esok.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Labuan Dr Fary Akmal Osman berkata sebagai sebahagian daripada langkah menangani penularan wabak COVID-19, pengusaha stesen minyak mencadangkan waktu operasi dipendekkan iaitu dari 6 pagi hingga 3 petang.

“Enam pengusaha telah menghantar satu surat kepada jawatankuasa ini pagi tadi, menyatakan pelan waktu operasi perniagaan mereka akan dipendekkan berikutan penularan wabak COVID-19.

“Kami bersetuju dengan kebimbangan mereka terutama terhadap pekerja mereka, kami meluluskan permohonan itu dan ia akan berkuat kuasa serta merta,” katanya kepada Bernama.

Labuan mempunyai tiga stesen Petronas iaitu di Saguking, Jalan Pohon Batu dan Durian Tunjong, dua stesen Shell iaitu di Jalan Tun Mustapha dan di pusat bandar serta satu stesen PETRON  di pusat bandar.

Labuan merekodkan lima kes positif COVID-19 dan tiada kematian dilaporkan setakat ini. – Bernama