Walkaton meriahkan Hari Kebangsaan ke-37

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 MAC – Buat julung kalinya Jawatankuasa Takmir Surau Maktab Teknik Sultan Saiful Rijal telah mengadakan Walkaton Hari Kebangsaan sempena Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-37 yang bermula dan berakhir di surau tersebut.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Acara bertujuan untuk mengimarahkan Surau Maktab Teknik Sultan Saiful Rijal dengan kehadiran lebih ramai jemaah di samping memenuhi hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai Negara Zikir.

Ia juga dihasratkan untuk mengembangkan lagi syiar Isiam di Negara Brunei Darussalam melalui aktiviti-aktiviti takmir masjid dan surau.

Selain itu, acara juga bertujuan untuk menjadikan rakyat Brunei sentiasa menjaga kesihatan dengan menjalani aktiviti-aktiviti sihat seperti bersukan dan seterusnya mengikatkan tali persaudaraan dan silaturahim sesama jemaah surau berkenaan khasnya.

Acara telah dimulakan dengan sembahyang Fardu Subuh berjemaah dan diikuti dengan bacaan Ratib Al-Attas.

Sebelum walkaton bermula, sesi memanaskan badan juga telah diadakan.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan turut sama-sama menyertai sesi memanaskan badan sebelum walkaton bermula.